SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Jun ini untuk
keputusan kes saman kecuaian yang difailkan oleh ibu A.Kugan, suspek
yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada 2009.
Hakim Datuk V.T. Singham menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar
penghujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan
peguam R.Sivarasa, yang mewakili ibu Kugan, N. Indra.
Pada 13 Jan tahun lepas, N. Indra memfailkan saman menuntut ganti rugi
RM100 juta dengan menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar,
yang ketika itu Ketua Polis Selangor sebagai defendan pertama.
Bekas anggota polis, V. Navindran (yang didapati bersalah mengakibatkan
kecederaan kepada Kugan) sebagai defendan kedua diikuti bekas Ketua
Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara
dan kerajaan.
Azizan, yang mewakili pihak defendan, mengemukakan bahawa selepas
penyiasatan, terdapat hubungan antara Navindran dan punca kecederaan
kepada si mati.
"Dalam perbicaraan itu, ia menunjukkan Navindran datang ke balai polis
di mana si mati ditahan dan menyebabkan kecederaan. Dua anggota polis,
Lans Koperal Mohd Haizan Hamid dan Lans Koperal Junid Haron kemudian
menghentikan Navindran daripada terus memukul si mati.
"Navindran didakwa di mahkamah dan didapati bersalah berdasarkan
keterangan Mohd Haizan dan Junid. Oleh itu, kami mengemukakan bahawa
keputusan untuk mendakwa Navindran jelas menunjukkan dia tidak
menjalankan tugas rasminya sebagai pegawai polis tetapi bertindak secara
bermain-main," katanya.
Beliau juga berkata Navindran telah hanya menafikan bahawa dia adalah
orang yang menyebabkan kecederaan tanpa apa-apa sokongan, menyalahkan
orang lain kerana memilih dia sebagai 'kambing hitam' dan bukannya
mencabar bukti yang dikemukakan oleh orang lain.
Peguam Sivarasa berhujah bahawa Indra telah kehilangan sokongan dan sumbangan kewangan bulanan selepas Kugan meninggal dunia.
Ketika ditahan, Kugan berusia 23 tahun dan adalah suspek kes curi kereta mewah.
Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan gagal
memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya semasa dia dalam
tahanan polis dari 14 hingga 20 Jan 2009.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.