Khamis, 2 Mei 2013

‘Keganasan dan serangan ke atas media baru cemari PRU13’

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR, — Badan pemantau hak asasi antarabangsa Human Rights Watch (HRW) hari ini berkata pilihan raya umum ke-13 di Malaysia kali ini dicemari dengan insiden keganasan dan serangan ke atas media baru, sambil menggesa tindakan segera perlu diambil.

HRW juga menggesa, kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) perlu menasihati penyokong mereka daripada bertindak ganas dan kedua-dua pihak sewajarnya memberikan komitmen untuk mengatasinya.

“Keganasan pilihan raya mengancam hak semua rakyat Malaysia untuk mengundi parti pilihan mereka,” kata timbalan pengarah Asia HRW Phil Robertson dalam satu kenyataan hari ini.

“Pemimpin politik sewajarnya menunjukkan komitmen mereka ke arah pilihan raya yang demokratik dengan mengambil pendirian tegas terhadap ahli dan penyokong mereka yang tidak bertanggungjawab,” tambah beliau lagi.

Antara insiden yang digariskan oleh HRW adalah beberapa insiden bulan lalu sepanjang tempoh berkempen 15 hari seperti lima orang menyerang pekerja parti yang sedang memasang bendera di Pulau Pinang, dua insiden letupan di bilik operasi BN, insiden balingan bom petrol dan juga kereta anak kepada calon PKR Dr Xavier Jayakumar dibakar.


Selain itu, HRW juga mendedahkan serangan ke atas media baru pada pilihan raya kali ini yang dilakukan oleh pengodam, yang didakwa sebagai kritikal ke atas kerajaan seperti laman Radio Free Malaysia, Radio Free Sarawak dan Sarawak Report.

“Pastikan semua orang boleh mendapatkan maklumat tanpa sebarang gangguan adalah sangat penting jika mahu memastikan tahap kematangan politik di Malaysia.

“Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat dan menghalang semua serangan siber, gangguan dengan ISP dan penggodam, supaya kebebasan bersuara dan hak mendapatkan maklumat dapat dipelihara,” kata beliau lagi.

Semalam, kumpulan pemantau pilihan raya tempatan Bersih 2.0 juga menyatakan gesaan sama mahu  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memainkan peranan aktif dalam mengawal keganasan politik menjelang hari mengundi nanti.

Dengan pilihan raya 5 Mei yang dikatakan pilihan raya paling sengit dalam sejarah tinggal beberapa hari lagi, pemantau pilihan raya itu mengingatkan parti politik untuk menghentikan insiden keganasan seperti bom petrol, ugutan bunuh, termasuk menakut-nakutkan dengan ketegangan kaum dan agama.

Kedua-dua parti politik di negara ini, BN dan PR akan bertarung untuk merebut sebanyak 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN.

Pilihan Raya 2013 dijangkakan paling sengit dalam sejarah walaupun BN seperti diramalkan oleh ramai pihak akan terus menerajui negara selepas itu.

Walau bagaimanapun, PR tidak mustahil untuk membuat kejutan kerana buat pertama kalinya, BN bakal berhadapan dengan pembangkang paling tersusun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.