Norutul Ilham
KUALA LUMPUR : KEADILAN mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan kekeliruan berkenaan dakwat kekal yang diguna pakai untuk pengundian awal hari ini kerana keberkesanannya diragui.
Naib Presiden, Fuziah Salleh berkata, SPR sebagai badan bertanggungjawab tidak boleh ‘lari’ dari isu ini, sebaliknya mesti bertanggungjawab.
“Kita desak SPR jelaskan. Jika dakwat yang dikatakan kekal itu hanya tahan sejam sahaja, bagaimana pula untuk hari mengundi pada Ahad ini?
“Kalau ini merupakan taktik SPR, bagaimana untuk kita mengawal pengundi yang akan ulang mengundi dua kali selepas membersihkan dakwat di jari mereka,” kata Fuziah ketika dihubungi.
Beliau mengulas berkenaan aduan bahawa dakwat yang digunakan pada pengundian awal hari ini tidak kekal dan boleh dibasuh.
Gambar cap jari yang tidak kekal itu tersebar luas di laman sosial menyebabkan kegusaran rakyat khususnya yang akan mengundi lima hari lagi.
Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menyatakan, untuk undi awal ini, pengundi akan dicalit dakwat kekal pada jari telunjuk sebelah tangan kiri.
Katanya, dakwat kekal itu berbeza warnanya berbanding pada hari pengundian 5 Mei nanti dan akan melekat di jari selama tujuh hari.
Undi awal dilaksanakan buat pertama kali pada PRU 13 berikutan pindaan kepada Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 iaitu kategori orang yang boleh mengundi awal.
Mengulas lanjut, Fuziah tidak menolak taktik licik itu hanya untuk mengaburi rakyat yang mahukan dakwat kekal digunakan dalam pilihan raya kali ini.
Sedangkan menurutnya, boleh jadi SPR sendiri merencana agenda itu secara terancang.
“Ini mungkin taktik SPR untuk membolehkan pengundi mengundi dua kali. Dengan perkembangan ini, saya syak mereka sendiri sudah merancangnya dengan baik.
“Kalau setakat mahu melaksanakan dakwat kekal seperti ini, baik tak payah buat,” kata Fuziah yang akan mempertahan kemenangan KEADILAN di Kuantan.
Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia serta pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) di 544 pusat pengundian di seluruh negara, hari ini.
Mereka terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan serta 111,136 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.