SINAR HARIAN
KUANTAN - Kegembiraan lima sahabat dalam konvoi lima motosikal yang
dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Festival Belia Putrajaya 2013
bertukar tragedi apabila dua daripadanya terbunuh selepas motosikal
mereka merempuh sebuah lori di Kilometer 98, Jalan Lipis-Merapoh,
sempadan Gua Musang, Kelantan, malam semalam.
Dalam kejadian 10.15 malam itu, mangsa, Muhamad Jailani Abdul Rashid,
32, yang bekerja di Jabatan Penilaian, Kota Baharu, Kelantan disahkan
meninggal dunia pada 11.20 malam tadi, manakala Mazuwi Muhammad, 31,
bekerja di sebuah bank di Wakaf Chiku, Kelantan meninggal dunia pada
pukul 12.20 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata,
kedua-dua sahabat terbabit meninggal dunia ketika sedang mendapat
rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) selepas mengalami kecederaan
dalaman serta kepala.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, pemandu lori berusia 26 tahun,
yang membawa muatan pelbagai jenis barangan, dalam perjalanan menghala
ke Shah Alam, Selangor dari Kota Bharu mendakwa terpaksa mengelak sebuah
kereta di depannya sejurus menuruni bukit.
Bagaimanapun, disebabkan permukaan jalan licin kerana hujan lebat
menyebabkan kenderaan berat berkenaan terbabas masuk ke laluan
bertentangan sebelum berhenti melintang di tengah jalan.
"Pada masa sama, lima sahabat terbabit yang datang dari arah
bertentangan dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang
kenderaan berat itu menyebabkan kelima-lima mangsa tercampak," katanya
ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, bagaimanapun, tiga lagi rakan mangsa iaitu Halini Mohd Nor,
29, masih mendapat rawatan di Hospital Kuala Krai, Kelantan akibat
parah di kepala, manakala Ahmad Razak Darus, 26, dan Rafizi Ramli, 31,
mengalami kecederaan ringan namun masih mendapat rawatan di HGM. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.