Khamis, 30 Mei 2013

Black 505 lebih aman dari bola sepak Piala FA

Khairil Abdul Rahim,


KUANTAN: Perhimpunan ‘Blackout 505’ yang dianjurkan rakyat negara ini ternyata lebih aman daripada perhimpunan menonton perlawanan separuh akhir kedua bola sepak Piala FA 2013.

Pengerusi Barisan Bertindak Rakyat Pahang, Syed Ali Badaruddin Othman berkata, dalam semua siri penganjuran 505 di seluruh negara tidak berlaku sebarang kekecohan meskipun melibatkan pemuda-pemuda yang pro Pakatan Rakyat.

Katanya, sebaliknya perlawanan bola sepak antara Pahang dan Johor yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Makmur malam tadi, berlaku kekecohan sehingga perlawanan tersebut  terpaksa ditunda.

Tambahnya lagi, sedangkan kehadiran kira-kira 40,000 penonton melibatkan penyokong kedua-dua pasukan itu turut dihadiri tetamu-tetamu kehormat (VVIP), Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah serta Presiden FAM Sultan Ahmad Shah.

“Oleh kerana itu tidak ada pihak yang perlu takut dan mereka-reka cerita yang bukan-bukan mengenai perhimpunan 505 kerana ia berlangsung aman tanpa provokasi termasuk yang berlangsung di Kuantan pada 14 Mei lalu.

“Malah jika kita lihat ada penonton yang membawa kanak-kanak dan bayi ke stadium semalam walaupun berisiko, namun tiada tindakan diambil,” katanya.

Semua media hari ini menyiarkan berita kekecohan yang berlaku di Stadium Darul Makmur semalam apabila dikatakan dihadiri penonton berlebihan dipercayai akibat penjualan tiket palsu.

Selepas pasukan Johor enggan keluar meneruskan perlawanan, berlaku pula insiden lempar melempar objek sehingga ada penonton yang tercedera dan perlawanan ditangguhkan.

Syed Ali berkata, tahun lalu penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus telah berceramah juga di Stadium Darul Makmur dengan dibanjiri kira-kira 75,000 orang.

“Tetapi perhimpunan itu aman,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.