Oleh Arif Juhani
AMPANG : Calon KEADILAN Ampang, Zuraida Kamaruddin mencabar
lawannya dari BN, Rozaidah Ismail berdebat isu manifesto, khususnya
mengenai isu rakyat setempat bagi membolehkan pengundi Parlimen itu
memilih calon berkualiti pada PRU 13.
“Saya dengan dia (Rozaidah) dua-dua pernah menjadi Ahli Parlimen
Ampang. Apa salahnya jika diadakan debat antara kami untuk berhujah
tentang prestasi yang pernah dicapai ketika memimpin dahulu,” kata
Zuraida.
Beliau berkata demikian pada ceramah kelompok di Bilik Gerakan Utama
KEADILAN di Kampung Dato’ Mufti Shuib, Kampung Tengah, Lembah Jaya.
Zuraida berkata, ketika era BN memerintah Selangor, banyak masalah
penduduk yang gagal diselesaikan terutama berkaitan isu setinggan.
“Ketika (Datuk Seri) Khir Toyo memerintah dahulu, dia meninggalkan
‘najis’ untuk kita. Dia lancarkan program ‘Setinggan Sifar’, akhirnya
rumah setinggan sifar, rumah pun sifar sebab ada lagi 8,000 penduduk
setinggan yang belum dapat rumah.
“Mereka ditindas Umno BN dan syarikat pemaju tanpa sebarang
pembelaan. Tetapi sebaik sahaja Pakatan Rakyat perintah, kita panggil
syarikat pemaju dan minta mereka bayar pampasan setimpal kepada
penduduk. Walaupun ada syarikat yang ‘bungkus’, kita usahakan juga beri
penduduk pampasan,” ujar Ketua Wanita KEADILAN itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.