Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak tidak
faham kemahuan rakyat yang sentiasa berharap supaya harga minyak
diturunkan, bukan memberi alasan karut kononnya penurunan harga minyak
hanya akan menguntungkan orang kaya.
“Penurunan harga minyak sememangnya ditujukan kepada rakyat
berpendapatan rendah dan sederhana. Orang kaya tidak ambil kisah dengan
penurunan sebanyak 20 sen atau 50 sen.
“Saya
yakin apabila Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, orang yang paling
gembira dengan penurunan harga minyak adalah rakyat miskin,” kata calon
KEADILAN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Azan Ismail.
Beliau mengulas kenyataan Najib itu yang turut menyatakan pemberian
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah lebih baik dan menguntungkan
rakyat.
“Najib memang mementingkan diri sendiri. Beliau lahir dalam keluarga
bangsawan, dibesarkan dengan mewah dan tak pernah rasa susah, sebab itu
dia tidak faham betapa pentingnya harga minyak diturunkan,” bidas Azan.
Menurutnya, penurunan harga minyak akan memberi kesan kepada
kebanyakan rakyat berbanding 10 peratus golongan kaya di negara ini.
“Hanya ada 10 peratus orang kaya, 20 peratus golongan sederhana,
manakala 70 peratus lagi rakyat miskin. Ini dibuktikan melalui pemberian
BR1M kepada lebih enam juta penduduk.
“Bermakna, enam juta orang terbabit akan gembira dan mendapat untung apabila harga minyak diturunkan,” katanya kepada Keadilan Daily.
Mengulas lanjut, Azan berkata, pemberian BR1M tidak akan memberi
kesan jangka panjang kepada rakyat keseluruhan kerana ia hanya
‘gula-gula’ untuk membeli undi.
“BR1M tidak akan diteruskan setiap tahun. Pelaksanaannya memakan
belanja sehingga RM8 bilion, sedangkan dengan menurunkan harga minyak,
kosnya tidak sampai begitu rupa, jadi yang mana lebih realistik?” tegas
Pengerusi KEADILAN Terengganu itu.
“Dari segi ekonomi pula, rantaian akibat penurunan harga minyak akan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan lain.
“BR1M pula cuma akan menambah kuasa membeli pengguna dalam satu masa
menyebabkan permintaan melebihi tawaran sekaligus menyebabkan inflasi,”
kata Azan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.