Isnin, 29 April 2013

Tolak politikus rasis



Oleh Uthaya Sankar SB

Tarikh mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir dan antara topik yang masih hangat adalah mengenai tindakan Barisan Nasional (BN) meletakkan Zulkifli Noordin sebagai calon bagi kerusi Parlimen Shah Alam. 

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa Zulkifli adalah “calon rakan BN” dan bukannya “calon BN”. Nampaknya Umno dan Presiden Umno sendiri tidak berani mengambil risiko meletakkan lelaki rasis, fanatik, etnosentrik dan ultra kiasu itu sebagai “calon BN” bagi bertanding kerusi Parlimen Shah Alam!

Pada masa sama, perlu diingat bahawa Zulkifli bukan calon dari mana-mana parti komponen BN; sebaliknya calon pilihan Pengerusi BN sendiri secara langsung. Mungkin itulah antara sebab MIC tidak berani bersuara menentang pencalonan itu sebaik diumumkan pada 16 April.

‘Kenapa Hindu tak pecahkan buah betik ke, buah tembikai ke?’ — Zulkifli NoordinDalam pada itu, ada pihak yang mengatakan bahawa kaum India/Hindu perlu memaafkan Zulkifli (atau sesiapa sahaja) yang pernah menghina agama Hindu dan mengundinya dalam PRU-13. Seolah-olah kemenangan BN adalah lebih besar daripada maruah para pengundi.

Rayner Sylvester Yeo dari Bandar Baru Klang (Parlimen Shah Alam) memberikan reaksi menerusi mesej Facebook kepada saya bahawa beliau berterima kasih kepada Pengerusi BN. “Terima kasih kerana memudahkan saya untuk membuat keputusan,” kata pemuda itu yang berasal dari Sabah.

“Dia (Zulkifli) telah meminta maaf dan saya mendapat maklum balas bahawa sebilangan besar kaum India menyokong beliau,” kata Pengerusi BN seperti dilaporkan di Utusan Malaysia (23 April).

Saya percaya bahawa pandangan itu adalah “imaginasi” Datuk Seri Najib Razak semata-mata. Mungkin juga beliau mengeluarkan kenyataan itu apabila MIC, PPP, IPF Hindraf dan parti-parti lain dalam BN “tidak cukup jantan” untuk tampil menolak pencalonan Naib Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa).
Keadaan “membisu” itu mungkin dianggap oleh Najib sebagai “bersetuju” tanpa mengambil kira realiti masyarakat pelbagai kaum dan agama membidas serta menolak pencalonan Zulkifli.

Baru-baru ini, lebih 100 ahli MIC di Shah Alam dilaporkan keluar parti berikutan isu Zulkifli, Ibrahim Ali dan Ahmad Nawawi M Zin. Ibrahim adalah Presiden Perkasa yang amat rasis tetapi tidak pernah diambil sebarang tindakan oleh Kerajaan BN walaupun dia menghina agama. Dia bertanding kerusi Parlimen Pasir Mas, Kelantan dan calon BN/Umno, Che Johan Che Pa menarik diri pada saat akhir.

Ahmad Nawawi pula calon DUN Batu Tiga dan dia pernah terlibat secara langsung dalam insiden menghina penganut agama Hindu dengan memijak kepala lembu pada 28 Ogos 2009. Kejadian itu berikutan bantahan terhadap cadangan pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, Shah Alam.

Umno dipenuhi pemimpin rasis?

Di Sungai Rapat, Perak pula, seorang lagi calon BN/Umno, Hamidah Othman dilaporkan pernah mengguris hati kaum India dengan mengeluarkan kenyataan “Jika bertemu ular dan orang India, bunuh orang India dahulu”. Maknanya, Umno memang dipenuhi pemimpin yang rasis serta tidak tahu menghormati perasaan orang lain.

Berbalik kepada isu pencalonan Zulkifli, Shahrul Nizam, seorang pegawai Jabatan Sumber Manusia di sebuah syarikat swasta di Shah Alam menyatakan bahawa walaupun beliau tidak mengundi di Parlimen Shah Alam, sebagai seorang Islam, beliau berasa amat malu apabila Zulkifli mengeluarkan kenyataan yang jahil sifatnya.

“Islam melarang umatnya menghina agama dan kepercayaan umat lain. Pemimpin yang tidak mampu menyelaras minda ketika berucap bukanlah seorang pemimpin. Mereka ini tidak lebih daripada seekor burung kakak tua. Malaysia tidak perlu kepada pelaris agama yang bersifat menghina kepercayaan orang lain kerana Islam terlalu indah, Malaysia terlalu aman,” kata pemuda itu yang berasal dari Alor Star.

Seorang lagi rakan di Facebook, Khairul Azhar Tarmizi yang berasal dari Batu Gajah mengatakan bahawa golongan oportunis seperti Zulkifli akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkan undi. Pada pandangan juruukur bahan ini, kesalahan Zulkifli mungkin boleh dimaafkan “tapi jangan lupakan”.



Ibrahim Ali pernah menghasut orang Melayu membakar kitab Bible.Ghanthimathi, seorang pegawai teknologi makanan di Sungai Buloh pula meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan sikap politikus yang tidak tahu menghormati sensitiviti masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

“Mengapa golongan ini sentiasa mengeluarkan kenyataan yang menghina dan mengguriskan hati kaum India dan penganut agama Hindu? Mengapa mereka seolah-olah begitu membenci kaum India?” Demikian tanya wanita ini yang saya kenali sejak zaman sekolah rendah di Aulong, Taiping.

Pembantu penyelidik dari Kajang, Mohamad Firdaus Rosli turut berkongsi pandangan semasa topik ini dibincangkan di laman rangkaian sosial baru-baru ini.

“Seorang Muslim sejati tidak akan menghina rakannya yang berlainan agama kerana perkara sedemikian ditegah oleh Rasulullah s.a.w. tercinta,” pemuda yang berasal dari Sungai Petani itu mengingatkan.

Bagi Baradhan Krishnan dari Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, biarlah Tuhan sahaja yang menghukum Zulkifli jika dia bersalah dan orang ramai tidak perlu emosional dengan kenyataan Zulkifli yang menghina agama Hindu.

“Jika kita menentang, seolah-olah kata-katanya adalah benar. Kalau mahu menyentuh mengenai orang yang menghina kaum India dan agama Hindu, bukan Zulkifli sahaja yang berbuat begitu. Tindakan perlu diambil terhadap ramai lagi orang. Cara terbaik adalah dengan kerajaan menggubal undang-undang ketat bagi menghukum mana-mana pihak yang menghina mana-mana agama atau kaum,” kata eksekutif pemasaran insurans itu.

Konsep 1Malaysia sudah terkubur

Seorang rakan perunding kewangan, Aslambigai dari Kuala Lumpur mengakui bahawa penganut agama Hindu di Malaysia sering menjadi mangsa penghinaan. Bagaimanapun, katanya, penganut Hindu diajar supaya tidak membalas perbuatan itu dengan turut menghina orang lain.

“Kita tidak perlu risau memikirkan adakah kenyataan Zulkifli itu benar atau salah. Malah, agama Hindu mengajar kita supaya bertolak ansur dan sifat itu amat penting dalam konteks Malaysia. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa orang seperti Zulkifli memang wujud dan kita yang beragama perlu menguatkan iman serta bertolak ansur,” kata wanita ini yang berasal dari Taiping.

 ‘Bila nampak seekor ular dan seorang India, pukul India dulu, setuju?’ — Hamidah Othman Turut berkongsi pandangan dalam isu ini ialah Mohanan @ Mohan Perumal, editor berita di akhbar Makkal Osai. Walaupun beliau ahli MIC, Mohan tetap lantang bersuara menentang pencalonan Zulkifli.

“Saya ada beberapa kawan rapat dalam MIC dan sebahagian daripada mereka turut dicalonkan untuk bertanding dalam PRU-13. Ada dalam kalangan mereka yang kecewa kerana saya lantang mengkritik keputusan Najib meletakkan Zulkifli sebagai calon.

“Saya sedar bahawa ramai di antara rakan-rakan saya dalam MIC juga marah dan kecewa dengan tindakan Najib yang menghancurkan usaha MIC sejak empat tahun lalu untuk meraih kembali kepercayaan kaum India terhadap BN. Rakan-rakan dalam MIC memilih untuk memendam rasa marah dan kecewa tetapi saya berani meluahkannya secara terbuka,” katanya.

Bagi Tharmaraj Bathmanathan dari Klang, agama dan bahasa adalah identiti serta diibaratkan seperti “dua mata” bagi setiap kaum.

“Perdebatan intelektual tentang kedua-dua topik itu boleh diterima tetapi kutukan dan penghinaan tidak boleh diterima sama sekali. Apatah lagi apabila individu terbabit adalah seorang yang berpendidikan tinggi (peguam) yang sepatutnya mampu berfikir secara rasional sebelum bertutur.

“Dalam kes Zulkifli, jelas menunjukkan fikiran dan pendirian rasis serta fanatik. Individu seperti ini tidak boleh mewakili penduduk pelbagai kaum dan agama di Malaysia dengan memenangi pilihan raya. Najib telah menguburkan konsep 1 Malaysia dengan menamakan Zulkifli sebagai calon PRU-13,” jurutera rangkaian itu menegaskan.

Pasti sahaja pemimpin, penyokong dan juak-juak dalam MIC, Umno dan BN akan berusaha bersungguh-sungguh untuk “memutihkan” imej Zulkifli menjelang tarikh mengundi pada 5 Mei 2013. Namun, saya percaya bahawa para pengundi pelbagai kaum dan agama di kawasan Parlimen Shah Alam akan tetap menolak calon yang rasis, fanatik dan sanggup menghina mana-mana agama.

Biarlah keputusan pengiraan undi di Parlimen Shah Alam menjadi pengajaran kepada BN bahawa masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini menolak politik perkauman dan politikus yang bersikap etnosentik dan ultra kiasu.

* Uthaya Sankar SB berkempen menolak politik perkauman menerusi tulisan. Lebih banyak tulisan boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.