SHAH ALAM - Hambar dan kurang menyengat mungkin gambaran sesetengah pemerhati yang tidak terlibat secara langsung dalam siri kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang sudah memasuki minggu terakhir.
Tidak boleh dinafikan, kempen ini bukan dibuat secara sembrono, sudah pasti ada strategi yang dirancang oleh parti-parti politik.
Tinggal lebih kurang enam hari sahaja lagi sebelum rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi 5 Mei ini, kesibukan calon-calon ini tentunya di tahap maksimum.
Bagi Naib Presiden Pas yang juga calon Pas bagi kawasan Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub, beliau percaya selain menampilkan idea yang bernas dan bukannya politik kacau bilau, taktik tertentu sudah direncakan dalam siri kempen masing-masing.
"Kita memang akan melakukan satu 'serangan' pada hari Khamis atau Jumaat dan saya percaya setiap pemimpin akan membuat 'serangan' nanti dengan menggunakan isu yang lebih besar, tunggu saja lah," katanya kepada Sinar Harian Online.
Rakannya yang juga penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, siri kempen pilihan raya tidak perlu dipanaskan dengan menjaja cerita fitnah.
"Hari ini kita berpolitik, esok lusa kita jumpa di kedai-kedai kopi bersembang juga," ujar beliau.
Walaupun siri kempen disifatkan tidak panas oleh sesetengah pihak, namun kempen PRU13 ini menyaksikan beberapa insiden yang tidak diduga sehingga menimbulkan kebimbangan awam.
Polis menahan dua suspek bersabit insiden bom di belakang pentas Bilik Gerakan BN di Nibing Tebal.
Bukan itu sahaja, beberapa insiden sama turut berlaku di beberapa lokasi lain.
Insiden pergaduhan di lokasi ceramah, pergaduhan sesama jentera ketika memasang bendera dan macam-macam lagi.
Tidak kurang dengan itu, terdapat juga pendedahan video lucah membabitkan pemimpin tertinggi parti turut tersebar ketika siri kempen.
Ia mungkin antara senario kurang sihat yang berlaku sepanjang tempoh kempen dan seketika menghangatkan suasana.
Selain itu, pemimpin-pemimpin parti politik bagaimanapun lebih dilihat 'santai' daripada membangkitkan sebarang isu besar.
Ketua Penerangan Umno yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, jadual hariannya begitu padat dengan pelbagai aktiviti harian bersama masyarakat setempat.
Hari ini (semalam) misalannya, program beliau bermula jam 7.30 pagi dengan bersarapan bersama penduduk di Parit Haji Ariff Benut dan berakhir dengan ceramah di Parti Kudus jam 10.45 malam.
Walaupun ada yang mengatakan siri kempen kali ini tidak panas, Ahmad berkata, "ia terus meningkat dalam masa enam hari lagi."
Namun pandangan berbeza pula daripada calon BN di Dun Chempaka, Muhd Faizal Sufar, walaupun "suram dan muram" namun katanya, beliau dapat merasakan gelombang rakyat pada PRU kali ini.
"Itu pandangan sesetengah pihak, program saya alhamdulillah.
"Majlis pengenalan calon dapat sambutan yang amat hangat, setiap kali saya hadir orang ramai luar daripada jangkaan saya, alhamdulillah itu satu impak gelombang yang dibuat oleh rakyat dalam kawasan Dun Chempaka," ujar beliau.
Sambutan pula nampaknya menggalakkan di kawasan Parlimen Pandan.
Malah calon BN, Gary Lim Chin Wee berkata, adalah sesuatu yang tidak benar jika kita mengatakan kempen seminggu ini tidak panas.
"Tak benar, saya kerap turun padang ke Dun Teratai dan hari ini di Dun Chempaka banyak dan kerja dan walkabout yang kami sudah buat dan banyak ceramah dan perjumpaan dengan pengundi.
"Secara peribadi saya rasa saya banyak berusaha walaupun saya tengok dari segi pihak parti yang lain dari Bebas pun mungkin reaksi mereka suram dan tak panas sedikit tapi bagi saya, saudara Faizal dan Ben Liew, rakan seperjuangan saya di Parlimen Pandan, kami banyak turun padang," katanya.
Bagi pemerhati politik pula, mereka merasakan kedua-dua parti politik kerajaan dan pembangkang mula rancak menjalankan kempen mengenengahkan isu manifesto untuk dihidangkan kepada pengundi.
Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Azizuddin Mohd Sani berkata, kedua-dua parti dilihat teruja dalam menjalankan kempen walaupun masih awal.
Menurutnya, calon-calon menggunakan waktu ini membangkitkan isu-isu yang dekat dengan rakyat bagi menawan hati mereka.
Selain daripada isu-isu nasional yang dibawa, senjata utama mereka kini ialah manifesto masing-masing.
"Pilihan raya kali ini lebih rancak lagi daripada sebelum ini, PRU sebelum ini tak nampak pemimpin 'excited' (teruja) seperti sekarang.
"Awal-awal lagi sudah rancak, masing-masing nak pertahan dan merampas kuasa kembali pada PRU ini," katanya.
Mengulas lanjut, Azizuddin juga berkata, BN dan PR menggunakan pendekatan berdasarkan pengalaman pada tsunami politik 2008.
Katanya, BN memfokus kepada penggunaan media sosial dan baru, manakala PR lebih giat berkempen rumah ke rumah bagi menghadapi PRU13, 5 Mei ini.
"... cara berkempen tak banyak berubah, tetapi kita jelas lihat BN lebih banyak guna media sosial, dan PR turun padang dan masuk kampung lebih efektik untuk berkempen kepada kelompok sasaran.
"... kedua-dua parti ini dilihat saling bertukar strategi antara satu sama lain," katanya.
Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Pensyarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Shamsul Adabi Mamat pula berkata, kempen kali ini pada pengamatannya lebih rancak berbanding 2008.
Beliau berkata, pembangkang menggunakan tempoh ini untuk menerangkan manifesto terutama dalam perkara yang dijanjikan percuma.
Sementara BN pula katanya, menggunakan isu setempat untuk terus menarik pengundi.
"Situasi kali ini lebih rancak kerana pilihan raya kali paling sengit.
"PR dan BN akan menggunakan pendekatan yang lebih kurang sama... PR sedaya upaya menyerang manifesto BN dan menggunakan manifesto yang menjadikan 'percuma' kepada pengundi," katanya.
Manifesto PR dibentangkan awal iaitu pada 25 Februari lalu sementara BN pula pada bulan ini, beberapa hari sebelum penamaan calon.
Pengarah Pusat Kajian Koridor Utara (NCRC) Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Rohana Yusof memberitahu bahawa siri kempen atau ceramah ini hanya menjadi panas jika ia dihadiri pemimpin besar dalam parti-parti politik.
"Tokoh-tokoh utama itu termasuklah kehadiran Anwar ke Sungai Petani baru-baru ini. Tapi kita tak boleh terjemahkan jumlah kehadiran penonton kepada sokongan undi.
"Bagi BN pula, dijangka menggunakan lima hari terakhir ini untuk agresif lagi," ujar beliau.
Pendapat sama turut diutarakan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
"Dari pengamatan saya ceramah-ceramah tersebut hanya akan dihadiri ramai orang hanya dengan kehadiran Anwar, Hadi datang. Kalau calon-calon tempatan, ia tak dapat menarik sangat penduduk tempatan kerana mereka hanya nak lihat dan dengar sendiri orang-orang besar ini bercakap," katanya.
Menurut Shamsul, beliau sudah mengikuti siri kempen lebih 18 siri kempen di tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
"Ini strategi biasa PR dan diikuti yang lain seperti Rafizi dan lain-lain.
"BN pula, misalnya di Johor, banyak kekalkan penyandang. Jadi penduduk sudah kenal, hanya sukar sikit bila Datuk Khaled Nordin, balik Johor dan tanding kawasan Dun, yang bukan merupakan kawasan beliau dulu," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.