Isnin, 1 April 2013

Nurul Izzah tunjuk bukti surat SPR maklum kes pengundi diragui

Oleh Aisha Geoffrey

PANTAI DALAM: Dakwaan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof tidak dimaklumkan berhubung permohonan semakan untuk membatalkan senarai 4,637 pemilih yang meragukan tidak berasas, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Katanya, bukti surat daripada Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Baria yang menunjukkan suruhanjaya itu mengambil maklum perkara tersebut dan sedang meneliti aduan berkenaan.

Surat tersebut dikemukakan Izzah pada sidang medianya di Pejabat Parlimen beliau, hari ini.

surat

“Saya ada surat bertarikh 6 Mac 2013 yang juga dihantar menerusi faks pada hari yang sama melalui peguam saya kepada SPR. Pada surat penerimaan keesokannya dicop dengan jelas dan ditandatangani oleh peguam kanan SPR.

“Surat itu adalah pembatalan nama-nama berdaftar yang tidak lengkap dan merujuk kepada kawasan mengundi Lembah Pantai P121,” jelas Izzah.

Menurutnya, jawapan Kamaruddin itu bukti jelas bahawa SPR dimaklumkan terlebih dahulu tentang tindakan undang-undang yang akan diambil sekaligus menunjukkan kenyataan Aziz tidak selari dengan jawapan tersebut.

“Mengapa Pengerusi (Aziz) kata saya tak hubungi dia sebelum ambil tindakan undang-undang?
Tindakan ini menghancurkan lagi kredibiliti SPR kerana tidak mengambil serius isu daftar pemilih dan buat dakwaan tidak berasas,” tegasnya.

“Ia kenyataan yang tidak boleh diterima dari seorang pengerusi sedangkan kami berusaha sedaya mungkin untuk bekerjasama dengan SPR,” kata Izzah.

Aziz dalam wawancara disiarkan akhbar Mingguan Malaysia menyatakan kononnya Naib Presiden KEADILAN itu tidak pernah memaklumkan kepada pihaknya berhubung senarai 4,637 pemilih yang meragukan dalam kawasan parlimen beliau.

Pada 27 Mac lalu, Izzah memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi membatalkan senarai nama pemilih yang meragukan tersebut.

“Saya terkejut dengan kenyataan beliau (Aziz) yang menyatakan SPR tidak dimaklumkan tentang semua rungutan dan senarai pengundi yang meragukan sebelum kami failkan ke mahkamah,” kata Izzah. – NS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.