Selasa, 30 April 2013

Menjelang PRU13, Ustaz Azhar Idrus berkempen membantu PAS

Oleh Amin Iskandar
Penolong Pengarang Berita

 Azhar menyelar budaya politik lucah di Malaysia sejak akhir-akhir ini dan membandingkannya dengan negara bukan Islam seperti Russia yang beliau anggap lebih bertamadun kempen pilihan rayanya. - Gambar Reuters Dalam kehangatan berkempen bagi Pilihan Raya 2013 yang sudah masuk ke pusingan akhir, kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) berhempas pulas untuk memenangi hati hampir 13.3 juta pengundi.

Ketika BN mempunyai tokoh hebat seperti mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjelajah ke seluruh negara untuk membantu gabungan pemerintah itu, PAS dari PR secara tidak lengsung dibantu oleh seorang tokoh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.

Sabtu lalu ketika Dr Mahathir turun ke presint 9, Putrajaya untuk membantu calon BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang akan berhadapan dengan Datuk Husam Musa dari PAS, Azhar turut berada di presint 19, bandar pentadbiran kerajaan itu untuk program dakwahnya.

Kedatangan Dr Mahathir merupakan ‘serangan balas’ terhadap program ceramah PAS pada malam sebelumnya yang menyaksikan kehadiran ribuan orang untuk mendengar amanat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam kuliah tersebut, Azhar turut menyelar budaya politik lucah di Malaysia sejak akhir-akhir ini dan membandingkannya dengan negara bukan Islam seperti Russia yang beliau anggap lebih bertamadun kempen pilihanrayanya.

“Tidak ada lagi dalam mana-mana negara yang berkempen cara kita kempen. Ni yang kita malu. Bahkan bukan di planet bumi, lapan buah planet tak dok lagi berkempen buat video lucah, tak dok,” kata Azhar disambut dengan gelak ketawa merujuk kepada sebuah video seks tersebar dan dikatakan mirip seorang pemimpin tertinggi PAS.

“Russia ni komunis, komunis ni dia tak percaya agama. Tetapi dalam pilihan raya Russia komunis, pihak pembangkang dan pihak kerajaan, masing-masing membentangkan fakta.

“Mana-mana fakta yang dapat memikat hati rakyat, biasanya parti itu yang akan menang. Tetapi tak ada buat fitnah, video lucah,” tambah beliau dipetik dari klip video Youtube bertajuk, “Ustaz Azhar Idrus Perhimpunan Di Presint 19 Putrajaya.”

Azhar sebelum ini mempunyai program televisyen di saluran Astro Oasis bertajuk “Kemah Keming Ustaz Azhar Idrus”, akan tetapi menurutnya, dihentikan kerana dikatakan boleh merosakkan akidah orang muda.

Pendakwah popular itu turut membandingkan televisyen di Malaysia dengan Russia yang beliau dakwa lebih terbuka sewaktu kempen pilihan raya.

“Di Russia dibenarkan 30 peratus rancangan televisyen digunakan oleh pembangkang. 30 percent, maknanya kalau sejam, bolehlah guna 20 minit untuk pembangkang. 40 minit presiden, 20 minit pembangkang.

“Kita lepas dia, dia, lepas dia, dia, lepas dia, dia. Kuliah Kemah Keming pun kena banned,” kata beliau merujuk kepada program televisyennya di Astro yang telah dihentikan.

Selain itu, Azhar turut menasihatkan hadirin dalam kuliahnya untuk membuat keputusan tepat dalam pilihan raya 5 Mei ini dan bersama orang-orang ‘baik’.

“Kita tanyalah nenek moyang kita, pak kita, mak kita kalau masih hidup. Mak mak, kalau ada orang jahat dengan orang baik, kita nak masuk ke belah orang baik ke orang jahat?

“Tak ada mak yang akan kata suruh masuk ke belah orang jahat. Maka pada lima haribulan ni kita akan tunaikan nasihat emak kita masuk ke belah orang baik,” katanya merujuk kepada hari mengundi pada 5 Mei depan.

Rakyat Malaysia akan membuat keputusan pada 5 Mei ini sama ada mahu mengekalkan BN yang telah memerintah negara semenjak mula merdeka ataupun memberikan peluang kepada PR untuk membuktikan kemampuan mereka.

Sejumlah 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 di luar negara akan memilih 222 wakil di Parlimen dan 505 wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri kecuali Sarawak.

Sarawak telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.