Husam berkata tidak tersinggung dengan kritikan oleh Dr Mahathir semasa turun berkempen untuk Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, sebaliknya mengganggapnya sebagai satu pengiktirafan.
“Tun M, saya ucap terima kasih kepada dia, bila dia datang ia satu pengiktirafan kepada saya.
“Dan cara dia pukul pun macam seorang datuk bergurau dgn cucu dia, saya tak rasa apa-apa tersinggung,” kata Husam apabila ditemui The Malaysian Insider di Ibu Pejabat PAS hari ini mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyuruhnya menjaga Kelantan terlebih dahulu daripada berfikir untuk menawan Putrajaya.
Naib presiden PAS itu kemudiaan membidas penyandang kerusi Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana gagal menguruskan kawasan parlimen tersebut dengan baik.
“Saya yakin Tun M tahu saya adalah orang yang boleh meneruskan idea-idea Tun M yang baik khususnya di Putrajaya.
“Selepas Tun M bersara, banyak perkara tidak diuruskan dengan baik, harga rumah tinggi, kos sara hdup naik kerana sewaan tinggi, tiada kemudahan sekolah agama, kelas KAFA pun menumpang surau,” katanya lagi.
Husam walau bagaimanapun melahirkan rasa kecewa dengan lawannya kerana gagal membawa perbahasan sihat sepanjang berkempen dan hanya banyak menyerang peribadinya berbanding memberikan kaedah penyelesaian kepada penduduk Putrajaya yang majoritinya kakitangan kerajaan.
“Konsep saya bertanding di Putrajaya adalah untuk berkongsi idea dan membincangkan idea negara secara komprehensif dan fakta.
“Sehingga hari ini, malangnya lawan saya hanya membangkitkan isu-isu tidak berasas dan berbentuk peribadi, tidak ada perbahasan sihat terhadap apa yang saya cadangkan,” katanya lagi.
Mengulas tentang peluangnya di Putrajaya, Husam berkata daripada sokongan sepanjang tempoh berkempen, beliau merasakan angin perubahan semakin kuat dan tidak menolak kejutan mungkin berlaku.
Sepanjang berkempen di Putrajaya, sambutan yang diterima ke atas Husam sangat mengejutkan,
kemuncaknya adalah semasa lawatan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Sabtu lalu untuk memberikan sokongan kepadanya yang menyaksikan ribuan orang ramai hadir pada ceramah itu.
Pencalonan Husam pada awalnya dilihat sebagai gimik dan tidak akan mengugat kerusi yang disandang oleh Tengku Adnan kini menjadi kerusi panas, malahan Dr Mahathir juga dijemput turun dalam satu program untuk menandingi kempen Pakatan Rakyat (PR) di situ.
Dalam Pilihan Raya 2008 lalu, BN memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,734 undi selepas menewaskan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad.
Seramai 13,268,002 rakyat yang layak mengundi dalam PRU 13 kali ini.
Kedua-dua parti politik di negara ini, BN dan PR akan bertarung untuk merebut sebanyak 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN.
Pilihan Raya 2013 dijangkakan paling sengit dalam sejarah walaupun BN seperti diramalkan oleh ramai pihak akan terus menerajui negara selepas itu.
Walau bagaimanapun, PR tidak mustahil untuk membuat kejutan kerana buat pertama kalinya, BN bakal berhadapan dengan pembangkang paling tersusun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.