Isnin, 29 April 2013

Fariz pantau pusat pengundian awal di Pekan esok, elak penipuan

Oleh Norutul Ilham

PEKAN : Calon KEADILAN Pekan, Fariz Musa akan membuat pemantauan di semua lokasi pengundian awal dalam Parlimen itu esok bagi memastikan pengundi tentera dapat menjalankan tanggungjawab mereka tanpa rasa bimbang undi mereka diketahui pihak lain.

Ini berikutan maklumat yang diperolehinya bahawa tentera yang akan membuang undi esok dikehendaki mengisi borang identiti dan memasukkan ke dalam sampul bersama kertas undi ke dalam peti undi.

“Saya akan membuat pemantauan esok di semua lokasi pengundian awal di kawasan Parlimen Pekan bagi memastikan amalan demokrasi dilaksanakan secara adil dan profesional serta tidak melanggari hak asasi manusia.

“Saya telah mendapat informasi bahawa satu taklimat telah diadakan kepada anggota-anggota tentera pada jam 9 pagi tadi.

“Semua anggota tentera yang akan melaksanakan pengundian awal pada esok dikehendaki mengisi borang identiti dan memasukkan ke dalam sampul bersama kertas undi ke dalam peti undi,” katanya pada kenyataan hari ini.

Ekoran itu, beliau mendapatkan penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendakwa mereka tidak terlibat dalam perkara tersebut.

“Pihak saya telah menghubungi Pengarah SPR Negeri Pahang untuk mendapatkan kesahihan dan kepastian daripada pihak SPR adakah ianya adalah implimentasi oleh badan itu.

“SPR juga telah mengesahkan bahawa ia bukan arahan pihaknya dan menyatakan ia dilaksana oleh pihak pengurusan tertinggi kem,” kata Fariz yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Justeru, beliau membantah dan mendesak supaya menghentikan tindakan tidak rasional itu yang disifatnya tidak menghormati sistem demokrasi negara.

“Saya membantah tindakan terhadap arahan tersebut yang akan dilaksanakan esok pagi, bertujuan menakut-nakutkan anggota tentera yang mahu melaksanakan amalan demokrasi dan kebebasan sebagai warganegara Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.