Sabtu, 27 April 2013

DAP tetap menghormati PAS dan ideologinya



DETIK DAILY

Calon DAP Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang mengulangi pendirian DAP mengenai pelaksanaan hudud iaitu tetap berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau mencabar UMNO dan Barisan Nasional (BN) turut menyatakan pendirian secara terbuka sama ada mahu melaksanakan hudud atau sebaliknya.

“UMNO dan BN tidak perlu membuang masa untuk mengelirukan rakyat dengan menjadikan hudud sebagai isu politik, malah meminta Datuk Seri Najib Razak memartabatkan agama Islam dan menghormati umat Islam dengan menghentikan kempen yang memperalatkan agama kerana ia memberi kesan buruk kepada masyarakat.

“Saya harap pemimpin BN benar-benar menghormati kesucian Islam dan agama lain kerana kepercayaan agama bukanlah alat permainan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang mengulas laporan media hari ini mengenai cabaran Najib supaya Pakatan Rakyat menyatakan pendirian secara jelas mengenai isu hudud, hanya satu gimik politik semata-mata.

Beliau kesal kerana UMNO/BN terus memperalatkan agama pada PRU kali ini sedangkan Pakatan Rakyat menyatakan bahawa hudud tidak terkandung dalam Manifesto Rakyat, pendirian bersama dan apa-apa prinsip bersama.

Sehubungan itu, katanya, DAP tetap menghormati PAS dan ideologinya, sama seperti PAS dan PKR menghormati DAP dengan ideologi DAP dan prinsip perjuangan semata-mata untuk kepentingan rakyat atas dasar demokrasi.

“Oleh itu, tidak timbul soal hukum hudud dalam perjuangan bersama Pakatan Rakyat. Malah, PAS telah menjelaskan pendiriannya dalam konteks Negara Berkebajikan yang amat penting dan berfaedah kepada umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya tanpa mengorbankan prinsip perjuangan PAS. Ini memang DAP hormati.

“Dengan itu, Najib, Datuk Seri Chua Soi Lek (MCA), Tan Sri Koh Tsu Koon (Gerakan), Datuk Seri G. Palanivel (MIC), Tan Sri Pairin Kitingan (PBS), Tan Sri Taib Mahmud (PBB) dan pemimpin BN lain yang sepatutnya menjelaskan secara terbuka pendirian mereka mengenai hudud,” tambahnya.
.
Menurutnya, pengundi Malaysia, terutamanya orang Melayu Islam, berhak untuk tahu sama ada UMNO dan BN mahu melaksanakan hudud atau tidak.

Katanya, jika UMNO dan BN tidak berminat melaksanakan hudud atau sudah menolak hudud, jangan cuba bermain kotor dengan menuduh Pakatan Rakyat dengan menggunakan isu hudud.

Beliau berharap media massa berani mengemukakan soalan yang sama mengenai hudud kepada semua pemimpin BN, terutamanya pemimpin UMNO, sama ada mereka mahu melaksanakan hudud atau sebaliknya, bukannya hanya berani bertanya kepada Pakatan Rakyat sahaja.

Ubah! Ini kalilah!-Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.