Hazayani Zakaria, |
Zamri berucap di majlis dekat Keramat malam tadi
KUALA LUMPUR: Gandingan agamawan, seniman dan profesional dalam program ceramah di Datuk Keramat malam tadi berjaya menarik orang ramai untuk bersama-sama dari awal hingga ke akhir program.
Kehadiran Bekas Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir Ismail Samion yang baru menyertai PAS pagi semalam dan juga Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said membuatkan orang ramai termasuk orang muda tidak berganjak dari tapak program.
Kira-kira 100 kerusi di bawah khemah dipenuhi golongan yang agak berusia sementara orang muda berdiri di tepi khemah, di bawah pokok dan duduk santai di atas motosikal mendengar intipati ucapan.
Semuanya menyokong Zamri4Titiwangsa...Datuk Ismail dua dari kanan
Malam tadi, selain calon PAS Titiwangsa Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi, Ismail Dan Pak Samad, PAS Titiwangsa turut menampilkan bekas Timbalan Ketua Akauntan Negara Datuk Jamaluddin dan juruterbang yang masih berkhidmat dengan salah satu syarikat penerbangan, Rashidi Ishak sebagai penyuntik semangat kepada orang ramai untuk bersama PAS.
Turut menyampaikan ceramah ialah Ustaz Raihan Abdul Aziz yang sering muncul di rancangan Tanyalah Ustaz TV9.
Pak Samad, selain membaca puisi seperti kebiasaan apabila diundang ke setiap program, turut menitipkan pesanan kepada orang ramai agar memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
"BN kata tidak mungkin Pakatan Rakyat boleh hapuskan tol, wujudkan pendidikan percuma. Tidak mungkin kerana Pakatan belum berkuasa. Sebaik ia bermula (berkuasa) segala yang dikatakan tidak mungkin akan jadi mungkin.
"Saya harap sangat orang Melayu janganlah mudah terpedaya dengan pemimpin tertentu Melayu. Biarlah pemimpin itu syahdu, orangnya jujur, ikhlas, berpandangan jauh dan berkebajikan, itu pemimpin yang kita harus pilih. Orang yang bukan Melayu pun nampaknya ada jalan yang bagus.
"Kita tidak boleh lagi biarkan kuasa yang lama berterusan. Oleh kerana itu saya sangat berharap setidak-tidaknya sekali ini kita memberikan kuasa kepada Pakatan Rakyat," katanya.
Bekas pengamal media berusia 81 tahun itu juga kesal dengan sikap pemimpin BN yang memburuk-burukkan bangsa lain semata-mata ingin mengekalkan kuasa.
Tegasnya, menjelang PRU13, pemimpin BN mula menimbulkan kegelisahan kononnya kuasa Melayu semakin terhakis kerana kebangkitan bangsa lain.
Pak Samad berucap dan membaca puisi malam tadi
"Yang memimpin kita di atas ialah pemimpin Melayu, yang di atas lagi ialah Raja-raja Melayu, yang memimpin kita Perdana Menteri Melayu, dan menteri kebanyakannya Melayu, askar juga melayu tapi mereka kata Melayu sedang jatuh.
"Saya selalu bertanya kenapa harus berlaku jika dalam 56 tahun ini yang di atas kita semuanya Melayu kenapa Melayu pula (yang dikatakan) sedang jatuh?
"Pernahkah kita bertanya itu? Saya lihat dan saya kaji akhirnya saya jumpa bahawa itu adalah satu cara untuk mendapatkan sokongan Melayu. Sebenarnya Melayu tidak jatuh tapi pemimpin Melayu yang menjatuhkan Melayu.
"Sesekali bila pilihan raya mereka (Umno) mengunakan Orang Cina sebagai alasan bahawa kita (Melayu) dalam bahaya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.