Oleh: Ruqayya Rahman
KUALA LUMPUR : Wakil MIC datang ke rumah S. Sugumar dan
meminta kedua ibu bapanya segera mengebumikan mayat mendiang sebagai
cubaan menutup kes, kata sepupu kepada mangsa keganasan polis itu.
“Wakil
MIC dah datang dua kali ke rumah dan cuba hasut supaya segera kebumikan
Sugumar. Mereka cuba mainkan emosi ibu bapa yang sudah tua dan elak
jumpa kami yang masih muda,” kata K. Anantha Kannan, 40.
Anantha berkata, ibu kepada Sugumar juga mendakwa wakil daripada MIC
itu menawarkan sejumlah wang untuk mempercepatkan upacara pengkebumian,
namun ditolak keluarganya.
“Saya takkan benarkan mereka beli keadilan dengan duit,”
“Kalau MIC betul-betul ikhlas mahu membela nasib kaum India, mereka
bekerjasama dengan kami dapatkan keadilan untuk Sugumar, bukan hasut
tutup kes,” katanya kesal dengan parti yang kononnya membela kaum India
itu.
Dalam kejadian di Hulu Langat Januari lalu, Sugumar yang juga
pengawal keselamatan dipukul sekumpulan individu dalam keadaan bergari,
selepas dikejar beberapa anggota polis. Saksi mendakwa polis turut
memijak tengkuk mangsa dan melumurkan mukanya dengan kunyit.
Laporan bedah siasat Hospital Serdang menyatakan mangsa mati akibat
serangan jantung. Namun ditolak keluarga mangsa dan mahu pakar bedah
Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, melakukan bedah siasat kedua ke atas
mangsa.
Sehingga kini, kerajaan enggan melayan tuntutan berkenaan dan Mayat
Sugumar hari ini genap 65 hari diletakkan di bilik mayat Hospital
Serdang.
Anand ketika dihubungi Keadilan Daily turut mendedahkan nama dua anggota polis yang terlibat memukul Sugumar sehingga mati.
“Sarjan Lotfi adalah Ketua Balai Polis Batu 14 Hulu Langat yang
bertanggungjawab dalam kes pembunuhan ini, dan Koperal Khalid adalah
pegawai yang memijak leher Sugumar. Kami mahu dua polis ini disiasat
terutama pegawai yang memijak leher beliau sehingga mati,” Tegas Anand.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Hak Asasi dan Undang-undang
KEADILAN, S Jayathas berkata, satu demonstrasi menuntut keadilan kepada
Sugumar bakal diadakan minggu hadapan.
Demonstrasi di hadapan pejabat perdana menteri itu akan menyaksikan
perarakan masuk ‘keranda sugumar’ selepas lebih 65 hari dibiarkan di
Hospital serdang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.