PUCHONG : Penduduk Blok B, Pangsapuri Seri Beringin dan Kampung Pasir, Puchong dijangka dibenarkan pulang hujung minggu ini sekiranya kawasan tanah runtuh disahkan selamat.
Ini kerana sesi persekolahan bakal disambung semula minggu hadapan sekaligus memudahkan ibu bapa menyiapkan peralatan persekolahan anak-anak.
Perkara ini dimaklumkan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Abdullah Marjunid pada satu sidang media hari ini.
Menurutnya, kejadian tanah runtuh pada petang 26 Mac lalu berpunca daripada kerosakan dan kebocoran paip pembentungan dan paip saluran air.
“Hasil siasatan mendapati antara faktor penyumbang yang menjadi punca runtuhan tersebut ialah kerosakan dan kebocoran paim pembentungan dan paip saluran air bersih serta sistem pengaliran rain water down pipe (RWDP) yang tidak sempurna.
“Ia sepatutnya diurus dan diselenggara oleh pihak pengurusan pangsapuri (JMB),” katanya.
Susulan kejadian berkenaan, MPSJ melantik kontraktor Indah Water Konsortium (IWK) untuk
menjalankan kerja-kerja pembaikan paip pembentung manakala kerja penyiasatan tapak bagi menilai tahap kestabilan struktur bangunan dan lokasi kejadian akan dilakukan oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM).
Dalam kejadian ini, seramai 228 penduduk dipindahkan yang melibatkan penghuni di 52 unit di Blok B dan 15 unit rumah di Kampung Pasir.
Mereka kini ditempatkan sementara waktu di Dewan Serbaguna MPSJ Puchong selain menginap di rumah saudara masing-masing.
Meskipun hanya runtuhan di lereng tebing, tindakan pantas MPSJ, polis serta kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya memindahkan mereka secara selamat tanpa berlaku kejadian yang tidak diingin.
Dalam sidang media sama, Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Abdul Razak Elias menjelaskan, pemindahan ini merupakan tindakan pencegahan awal dan 20 anggota keselamatan termasuk JPAM ditempatkan bagi menentukan keselamatan harta benda.
Tambah Abdul Razak, polis menyediakan khemah khas bagi memudahkan pendaftaran penghuni keluar masuk bagi tujuan rekod sekiranya mereka datang untuk mengambil barang keperluan.
Ini bagi mengelakkan sebarang kejadian pencerobohan pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi sebegini.
Beliau turut memuji sikap bersatu penduduk yang mengambil keputusan bersama mengosongkan kediaman masing-masing berpindah mereka mematuhi arahan.
“Saya dapati penduduk di sini bersatu. Mengambil berat mengenai keselamatan mereka. Ini bukan bencana, baru pencegahan. Kalau betul-betul berlaku baru mereka dapat diselamatkan,” ujarnya lagi.
Bagi penduduk, Mohd Had Mohd Sharif, ini merupakan pengalaman pertama berhadapan kejadian tanah runtuh setelah menetap di sini sejak 12 tahun lalu.
“Kalau begitu (dibenarkan pulang), Alhamdulillah sebab sesi persekolahan akan bermula minggu hadapan, kalau kita tidak boleh masuk memang bermasalah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.