Oleh: Rusnizam Mahat
SEREMBAN : Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sembilan,
Dato Kamarul Baharin Abbas berkata, pilihan raya di negeri itu perlu
diadakan sebelum tarikh 18 Jun 2013.
Katanya, berdasarkan perkara 55 (1 ) dan (4) perlembagaan
persekutuan, ia menyebut pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh enam
bulan daripada tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir.
Ia
juga dijelaskan dalam Jadual Kelapan [Perkara 71] – Peruntukan yang
hendaklah Dimasukkan ke dalam Perlembagaan Negeri di bawah seksyen 9.
(1) Raja hendaklah memanggil Dewan Undangan dari semasa ke semasa
dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang
akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk persidangan
pertamanya dalam penggal yang berikutnya.
Menurut Kamarul, berdasarkan perkara itu, tarikh akhir DUN Negeri
Sembilan bersidang ialah pada 18 Disember 2012, yang bermakna
persidangan DUN penggal berikutnya mesti diadakan sebelum 18 Jun 2013.
“Ia bermaksud pilihan raya di Negeri Sembilan perlu diadakan selewat-lewatnya pada minggu ke 3 bulan Mei 2013,”
“Jadi kita minta peguam atau penasihat undang-undang negeri untuk
memberi penjelasan mengenai peruntukan perlembagaan ini, supaya tidak
melanggar peruntukan,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di Ibu
Pejabat KEADILAN di Jalan Tuanku Antah, Seremban tengahari tadi.
Turut hadir Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Loke Siew Fook,
Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd Taufek Abdul Ghani dan pimpinan Pakatan
Rakyat Negeri Sembilan.
Sementara itu, Loke Siew Fook berkata, berdasarkan proses pilihan
raya yang tertera dalam laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),
suruhanjaya itu sepatutnya mengeluarkan writ bagi memaklumkan tarikh
penamaan calon dan pilihan raya.
“Apabila berlaku pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atau
terdapat kekosongan di luar jangka, SPR akan mengeluarkan writ iaitu
surat kuasa untuk menjalankan pilihan raya kepada Pegawai Pengurus.
“Pada masa yang sama satu notis pilihan raya akan diwartakan dan
ditampal di tempat-tempat yang mudah untuk semakan orang ramai. Notis
tersebut akan mengandungi tarikh penamaan dan tarikh pengundian yang
akan dijalankan,” ujarnya memetik proses berkenaan.
Bagaimanapun katanya, ia berbeza dengan pengumuman suruhanjaya itu
sejak awal yang memutuskan pilihan raya umum akan dijalankan serentak di
semua negeri.
“Sedangkan tidak ada peruntukan dalam perlembagaan menyebut perkara
ini. Kita tak tahu bila tarikh pilihan raya umum. (Perdana Menteri)
Najib belum dapat ilham bilakah ia akan adakan.
“Dalam konteks pilihan raya negeri, ia tidak terikat dengan parlimen.
Tak kira parlimen bubar atau tidak bubar, DUN mesti mengadakan pilihan
raya segera. SPR perlu buat proses ini secepat mungkin,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.