Selain dua kerusi parlimen itu, Segamat juga dijadikan pilihan ketiga Chua - yang juga bekas menteri kabinet dan naib presiden MCA - untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13.
Pengarah pilihan raya PKR negeri, Steven Choong bagaimanapun berkata, keinginan untuk bertanding di ketiga-tiga kerusi itu, bukan kehendak Chua seorang sebaliknya hasrat akar umbi.
Menurut Steven (kiri) lagi, beliau juga berharap agar keputusan di mana Chua bertanding dapat diketahui esok bagi memudahkan gerak kerja pilihan raya dilakukan.
"Pusat ada pendirian mereka. Tapi bagi kita, kerusi Gelang Patah dah diberi pada Lim Kit Siang kerana dia minta sendiri (kerusi itu) tetapi secara balasan, Lim akan tawar balik dengan satu kerusi. Jadi kerusi itu kita minta Bakri, Kulai dan Segamat.
"Ini adalah cadangan dari akar umbi. Kita patut intai Bakri, Kulai dan Segamat. Tetapi terpulang pada pasukan rundingan kerusi yang diketuai oleh Tan Kok Wai (DAP) dan Azmin Ali (PKR).
"Saya dah minta kalau boleh selesaikan sebelum habis minggu ini. Kalau boleh nak tahu jawapan (keputusan rundingan) esok. Akar umbi nak bergerak. Kalau tak selesaikan macam mana akar umbi nak buat kerja," katanya.
Bakri pilihan pertama
Ketika dihubungi Malaysiakini, Steven berkata PKR memberi keutamaan kepada kerusi parlimen Bakri terlebih dahulu, kemudian diikuti Kulai dan Segamat.
"Kita terus bagi tiga pilihan supaya tidak perlu nanti tiap-tiap kali tawaran perlu rujuk pimpinan negeri," katanya.
Dalam majlis sambutan ulangtahun ke-47 DAP di Skudai pada 18 Mac lalu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Lim sebagai calon DAP di kerusi parlimen Gelang Patah.
Pada pilihan raya umum lalu, calon PKR Dr Zaliha Mustafa tewas kepada calon MCA Tan Ah Eng dengan majoriti 8,851 undi. Dr Zaliha mendapat 24,779 undi, manakala Tan mendapat 33,630 undi.
Parlimen Gelang Patah mempunyai lebih 100,000 pengundi, terdiri daripada kerusi DUN Nusajaya dan DUN Skudai yang kini disandang Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau. Sebelum ini berlaku pertikaian antara Dr Boo dan Chua tentang isu agihan kerusi di negeri tersebut.
Pada 2008, ketiga-tiga parlimen - Bakri, Kulai dan Segamat - ditandingi oleh calon DAP. Untuk kerusi Bakri, calon DAP Er Teck Hwa menang melawan MCA dengan majoriti 722 undi. Chua pernah menewaskan calon DAP di kerusi itu pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti 19,059 undi.
DAP Johor: Belum ada keputusan
Di Kulai pula, DAP kalah kepada MCA dengan majoriti 11,744 undi sementara di Segamat, DAP kalah kepada MIC dengan majoriti 2,991 undi.
Mengulas lanjut, Steven yang juga timbalan setiausaha agung PKR juga berkata, desas-desus yang mengatakan Chua merajuk adalah tidak benar.
Menurutnya, Chua (kanan) hanya mengambil sikap berdiam diri dan tidak menghadiri sebarang majlis rasmi bagi mengelakkan salah faham berlaku.
"Dia senyap sahaja. Cuma tak nak angkat bila wartawan telefon. Tak boleh anggap merajuk... Dia masih lagi ada berbual dengan pusat dan akar umbi. (Chua) hanya tolak segala acara rasmi yang terbuka.
"Saya tak tahulah (kenapa). Kemungkinan dia tak nak nanti dia sebut banyak akan muncul lagi salah faham. Dia ambil sikap berdiam diri bimbang ada lagi salah faham," katanya lagi.
Sementara itu, Tan ketika dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan respon tentang pemilihan kerusi di Johor itu berkata, keputusan rundingan belum lagi dibuat walaupun perbincangan telah diadakan.
"Belum ada keputusan. Saya pun susah nak beritahu tarikh. Belum ada keputusan lagi. Perbincangan sememangnya seringkali diadakan tapi belum tahu (keputusan)," kata Tan ringkas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.