Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu
menghentikan ‘projek segera’ di Kuantan dan wajib menyelesaikan masalah
dengan lebih komprehensif, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
“BN
begitu terdesak untuk rampas Kuantan dengan memperuntukkan sebegitu
banyak wang. Kerajaan suka buat ‘projek segera’ untuk membuktikan mereka
mampu walaupun ia tidak menyelesaikan masalah dengan berkesan,” kata
Fuziah kepada Keadilan Daily.
Beliau mengulas peruntukan RM50 juta yang diumumkan Najib di Kuantan
Sabtu lalu bagi membaik pulih jalan raya dan RM50 juta lagi untuk
mengatasi masalah banjir di Parlimen itu.
Fuziah berkata, BN sering menabur wang sebagai kaedah untuk
menyelesaikan masalah di Kuantan tanpa mengkaji isu sebenar dan
menyalurkan penyelesaian efektif.
“Misalnya kita pernah bangkitkan kenapa jabatan dan urusan
pentadbiran negeri ditempatkan di Indera Mahkota. Dengan jarak yang jauh
dan masalah pengangkutan, ini menyukarkan penduduk Kuantan untuk ke
sana sekiranya ada urusan.
“Apa yang kerajaan buat hanya sediakan bas Rapid yang tak boleh
selesaikan isu sebenar. Isu pokoknya penduduk di kawasan pedalaman sukar
mendapat akses pengangkutan, tapi Rapid gagal atasi tidak masuk ke
kawasan kampung,” jelasnya.
Tambah Fuziah, projek perumahan yang dijanjikan kerajaan pada sidang Parlimen juga banyak terbengkalai.
“Bila saya bangkitkan di Parlimen, mereka buat tetapi lepas itu ada berapa banyak projek perumahan yang terbengkalai,” katanya.
“Kerajaan dan Najib seharusnya berhenti membangunkan projek yang
tidak dapat lagi ditampung. Kaji setiap permasalahan rakyat dengan
terperinci dan selesaikan, bukan dengan bina itu ini, janji sana-sini,”
tegasnya. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.