Apabila Negeri Sembilan terpaksa membiarkan Dewan Legislatifnya terbubar dengan sendiri itu, maka saya hendak menyebut semula isu Persekutuan sekali lagi. Membiarkan Dewan Undangan Negeri terbubar dengan sendiri itu merupakan petanda jelas yang negara kita seolah-olah sedang ditadbir seperti MalayanUnion yang ingin dibentuk oleh British dahulu.
Ramai yang keliru tentang isu ini termasuk mereka yang memimpin. Oleh itu kita melihat cara negara kita ditadbir urus tidak seperti sebuah negara Persekutuan. Kita seolah-olah ditadbir oleh kerajaan yang cuba dibentuk oleh British dahulu, iaitu kerajaan MalayanUnion dalam mana negara kita hendak ditadbir seperti sebuah negara ‘unitary’.
British hampir berjaya membentuk dan melaksanakan MalayanUnion terhadap Semenanjung ini. Brtitish telah merangka Semenanjung ini sebagai sebuah negara ‘unitary’ tanpa mempunyai sempadan di antara kesemua negeri dalam Semenanjung ini. Kuala Lumpur merupakan pusat pentadbiran MalayanUnion itu. Tidak ada lagi Selangor, tidak ada lagi Negeri Sembilan dan semua negeri-negeri yang kita ada sekarang ini. Raja-Raja Melayu dirancang untuk menjadi penasihat-penasihat kepada MalayanUnion itu dalam bentuk ‘ceremonial’ sahaja.
Tetapi semuanya itu dapat ditolak sehinggakan kita berjaya membentuk sebuah negara Persekutuan pada bulan Februari 1948 dan kerajaan Persekutuan itulah yang meneruskan perjuangan kemerdekaan sehingga kemerdekaan itu tercapai pada bulan Ogos 1957. Raja-Raja Melayu telah mendapat semula negeri-negeri jajahan baginda semua dengan mempunyai Legisltifnya sendiri dan Ketua Eksekutif sendiri, walaupun Ketua Eksekutif itu dilantik oleh British.
Justeru dalam pemahaman kita yang mudah, negeri-negeri ini adalah negeri-negeri berdaulat di bawah naungan Raja-Raja Melayu dan dalam perjanjian Persekutuan pada Februari 1948 itu. Negeri-negeri ini bersetuju untuk bergabung dalam sebuah negara Persekutuan yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Kedaulatan negeri-negeri inilah sumber kedaulatan negara persekutuan yang baru terbentuk itu.
Oleh itu perhubungan Putrajaya dengan kerajaan negeri-negeri di dalam persekutuan itu mestilah perhubungan dengan negeri-negeri yang berdaulat dan merdeka. Persekutuan mesti melayani negeri-negeri dalam persekutuan itu dengan hormat seperti negara kita menghormati kerajaan negara lain yang berdaulat itu. Tetapi ini tidak berlaku di negara kita di mana Persekutuan telah menentukan segala-galanya dan negeri-negeri di dalam persekutuan ini terpaksa tunduk kepada kehendak Putrajaya seratus peratus.
Ramai merasakan terbubarnya Dewan Undangan Negeri Sembilan dengan sendiri itu adalah disebabkan keadaan dan masalah yang ada di peringkat persekutuan. Itu masalah persekutuan. Tetapi jika Negeri Sembilan ditadbir politiknya oleh Negeri Sembilan sendiri, Mohamad Hasan sepatutnya membubarkan Dewan Undangan Negeri Sembilan itu dahulu sebelum DUN itu terbubar dengan sendirinya. Biarlah Negri Sembilan mengadakan pilihanrayanya dahulu kerana seperti yang kita dengar selalu, Menteri Besar NS selalu berkata, “kito dah ready bilo-bilo maso untuk pilihanrayo”.
Sebagai sebuah negeri yang berdaulat dalam persekutuan ini Negeri Sembilan sepatutnya memanggil pilihanraya DUN dahulu. Jika kita terpaksa menunggu pimpinan persekutuan untuk menyelesaikan masalahnya di Putrajaya sebelum kita memanggil pilihanraya untuk DUN Negeri inilah masalahnya yang timbul. Terbubarnya DUN Negeri Sembilan secara sendiri itu telah memberikan persepsi jelas yang UMNO dan BN itu sesungguhnya sedang menghadapi masalah.
Jika benar Negeri Sembilan bertindak sebagai sebuah negeri yang berdaulat membiarkan Dewan Undangan Negeri terbubar itu adalah satu kejadian yang tidak sepatutnya berlaku. Menteri Besarnya yang telah diberi kuasa untuk menentukan pembubaran itu tidak melakukannya kerana masalah pimpinan Persekutuan yang belum bersedia itu. Putrajaya tidak menghormati nilai sebuah negara persekutuan seolah-olah kita masih terikat dengan budaya mentadbir ala MalayanUnion dahulu. Tiada kebebasan barang sedikit untuk negeri-negeri dalam persekutuan itu.
Bukannya salah untuk memahami dan membantu masalah yang dihadapi oleh pimpinan persekutuan itu, tetapi tidak lah sampai membiarkan Dewan Undangan Negeri yang berdaulat dan mulia itu terbubar begitu sahaja kerana kehendak Persekutuan itu. Nampaknya Johor pun sudah menunjukkan tanda-tanda DUN akan terbubar dengan sendiri itu.
Nampaknya satu demi satu DUN-DUN negeri-negeri yang menganggotai persekutuan kita ini akan terbubar secara ‘automatic’ semata-mata kerana kelalaian dan kelemahan pimpinan Persekutuan. Mereka lebih mementingkan politik kepartian walaupun parti yang memerintah itu sudah hampir kepada penamat usianya.
Mungkin keadaan ini terjadi kerana untuk memberikan kesedaran kepada semua, yang perubahan kepada negara sudah menjadi fardhu kifayah yang sangat penting kita lakukan. Parti pemerintah negara ini sudah terlalu uzur dan berusia untuk terus mentadbir kita.
Tengok sahajalah, Dewan Undangan Negeri pun terbubar dengan sendirinya. Apa lagi alasan yang ada yang bagi kita mempertahankan kerajaan yang sudah uzur ini? - http://aspanaliasnet.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.