Sabtu, 30 Mac 2013

MB Selangor arah peguam fail kes ke atas SPRM, bekas ketua pesuruhjaya

Oleh Md Izwan

KUALA LUMPUR — Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengarahkan peguamnya memfailkan kes ke atas Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana engkar Perintah Mahkamah terhadap keputusan kes rasuah melibatkan menteri besar tersebut pada tahun 2009.

Pemimpin PKR tersebut menuduh bekas ketua pesuruhjaya, Ahmad Said dan SPRM telah melanggar syarat yang telah dipersetujui semasa menyelesaikan kes di mahkamah dua minggu walaupun telah berjanji sebelumnya di mahkamah.

“Sikap melampau kedua-dua Defendan ini bertujuan mahu terus-terusan menghina saya selaku mangsa kepada kata-kata berunsur fitnah,” kata Abdul Khalid (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

“Sehubungan itu, saya tidak mempunyai pilihan lain dan tanpa teragak-agak telah mengarahkan peguam saya Encik Sankara Nair untuk memulakan satu prosiding Penghinaan Mahkamah terhadap Dato’ Ahmad Said, SPRM dan Kerajaan Malaysia serta apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai dan setimpal dengan penghinaan yang dilakukan para defendan,” tambah beliau lagi.

Beliau menyatakan Ahmad Hamdan dan agensi kerajaan tersebut kedua-duanya diarahkan oleh hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan pada 18 Mac untuk meminta maaf di mahkamah terbuka dan mengeluarkan kenyataan maaf dimuka hadapan dua akhbar berbahasa Inggeris, The New Straits Times dan The Star dalam tempoh empat hari daripada perintah tersebut.

Meskipun Ahmad Hamdan telah membuat permohonan maaf di mahkamah terbuka pada 19 Mac, bekas ketua pesuruhaya SPRM tersebut masih lagi belum mengeluarkan kenyataannya dalam dua akhbar harian tersebut seperti diarah mahkamah dan tempoh empat hari telah pun berakhir.

Meskipun demikian, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, SPRM dan Kerajaan Malaysia bersikap liar dan tidak bertanggungjawab dengan tidak menunaikan Perintah tersebut dalam tempuh 4 hari seperti yang diperintahkan.

"Defendan secara selamba dan sengaja menunjukkan sikap tidak menghormati mahkamah hatta terang-terangan telah menghina kesucian mahkamah yang mulia ini," terang Khalid.

Khalid telah memfailkan saman fitnah pada 27 April 2009 ekoran kenyataan Ahmad Said pada 20 Februari tahun sama yang mana dilaporkan media dengan mengatakan SPRM memiliki "bukti kuat" Khalid telah menyalahguna dana kerajaan untuk menyelenggara kereta peribadinya dan membeli 46 lembu korban bernilai RM10,400 untuk sambutan Hari Raya Korban pada 2008.

SPRM membersihkan Khalid daripada tuduhan tersebut pada Februari 2010 dan tidak pernah didakwa.

Pada 19 Mac, Ahmad Said membaca kenyataan maafnya di mahkamah: "Saya, Datuk Seri Panglima Ahmad Said bin Hamdan, secara ikhlas meminta maaf kepada Tan Sri Khalid bin Ibrahim, atas kenyataan saya pada 21 Februari 2009 yang telah dilaporkan media.

"Kenyataan tersebut dibuat atas kapasiti saya sebagai ketua SPRM pada ketika itu. Ia dibuat bagi menjawab soalan yang ditanya kepada saya oleh wakil media terhadap perkembangan siasatan SPRM keatas Abdul Khalid," tambah beliau.

"Saya membuat kenyataan tanpa niat tidak baik dan tanpa sebarang niat untuk menjejaskan reputasi, imej dan integriti plaintif."

Ahmad Said enggan memberi sebarang komen selepas kenyataan maafnya tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.