Sabtu, 2 Mac 2013

Jejambat Cyberjaya runtuh bukan salah Pakatan, kata MB

Oleh Zurairi AR

KUALA LUMPUR— Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor tidak bertanggungjawab ke atas jejambat runtuh di Cyberjaya semalam, tegas Menteri Besar (MB) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

“Saya tidak berfikir begitu. Kontrak telah diberi pada 2007,” kata Abdul Khalid apabila ditanya sama ada PR bertangungjawab atas insiden tersebut.

Abdul Khalid (gambar) bagaimanapun berkongsi pandangan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) supaya jejambat tersebut perlu dibina semula dan pihak pengurusannya akan menangani insiden tersebut secara profesional.

“Kami tidak akan cari kesalahan, tapi kami pastikan semuanya diperbetulkan,” kata Abdul Khalid.

MB Selangor tersebut juga berkata PKNS telah menandatangani ikrar integriti yang akan membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sebarang salahguna kuasa.

“Mereka akan lihat sama ada keputusan yang diambil adalah profesional dan selari dengan piawaian yang ditetapkan oleh badan korporat,” ujar beliau yang merujuk kepada badan pencegah rasuah tersebut.

Abdul Khalid juga mengulangi dakwaan ahli majlis negeri (exco) Selangor Ronnie Liu mengatakan PKNS mungkin menyaman PLUS Malaysia Berhad jika bukti menunjukkan pengendali lebuh raya tersebut sebagai punca jejambat tersebut runtuh.

Dalam pada itu, pengurus besar PKNS Othman Omar hari ini berkata PKNS masih belum memutuskan sebarang tindakan undang-undang keatas mana-mana parti ekoran insiden tersebut.

Jejambat itu runtuh jam 12.30 tengah hari semalam dan kelihatan terbelah dua, menyebabkan paip yang menyalurkan air juga pecah.

Jejambat tersebut ialah susur keluar dari Lebuhraya Elite (KM P2.4) menuju Selangor Science Park 2 (SSP2).

Pembinaan projek jejambat bernilai RM7 juta itu dijalankan oleh BNI Construction dari Oktober 2007 dan siap pada November 2009. Empat peneraju projek ini — PKNS, Utuh Aspirasi Sdn Bhd, Taraf Unggul Sdn Bhd dan Semai Ria Sdn Bhd berkongsi kos untuk pembinaan ini.

Difahamkan, tiada mangsa yang tercedera daripada insiden tersebut.

Minggu lepas, media melaporkan bumbung stadium di Kuala Terengganu juga runtuh semasa kerja-kerja membaiki runtuhan terdahulu sedang berjalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.