Jumaat, 1 Mac 2013

Iklan Najib di Youtube, berapa kosnya?

Dr Azman Ibrahim,
 
Belum lagi terjawab berapakah jumlah yang telah dibelanjakan dari duit rakyat untuk membeli semuka penuh iklan di akhbar Washington Post bagi tujuan mengucapkan tahniah kepada Rosmah pada April 2011 lalu, kini terpampang pula iklan Moving Forward Together With Najib Raza’ di laman utama Youtube.
Promosi habis-habisan pembinaan imej Presiden Umno dalam rangka untuk mengekalkan tampuk kuasa menjelang PRU13 ini, tentunya menelan jutaan ringgit lagi wang rakyat.

Tak cukup dengan memanipulasikan segenap ruang media perdana yang ada di Malaysia, sedang berlangsung sekarang jelajah Presiden dan Timbalan Presiden Umno ke seluruh negara untuk berkempen yang kosnya juga dibayar dari wang rakyat, menggunakan kemudahan milik rakyat sama ada pesawat khas yang dinaiki, helikopter, sekolah atau premis milik rakyat, peruntukan jamuan yang dibayar dari duit rakyat, cenderahati untuk Presiden Umno juga dibeli dari duit rakyat, belum lagi dikira kakitangan kerajaan yang sepatutnya berkhidmat untuk rakyat tetapi dikerah hadir ke program Presiden Umno dengan dibayar sagu hati dari duit rakyat juga.

Pendek kata setiap langkah yang diatur Presiden Umno bagi tujuan kempen mengekalkan kuasa ditanggung oleh rakyat. Takrif rakyat tentunya bermakna bukan hanya yang penyokong Umno dan BN.

Memang tepat ungkapan bahawa Umno akan mati bila hilang kuasa, kerana tonik yang memacu kelangsungan umno adalah wang dan wang tersebut adalah wang rakyat!

Hanya dengan memiliki kuasa yang membolehkan wang rakyat menjadi wang Umno!

Bagaimana caranya?

Sangat mudah bagi mereka yang berada di puncak kuasa.

BR1M, Bantuan Awal Persekolahan semuanya dari duit rakyat, tetapi sebelum menerimanya, rakyat dipaksa mendengar ucapan berbentuk bebelan panjang dari pemimpin-pemimpin Umno yang bersyarah seolah-olah duit tersebut mak bapak Umno yang bagi.

Persoalan lain, dengan promosi habis-habisan apakah posisi Umno benar-benar terdesak dan berada dalam kedudukan defensif menjelang ‘pertempuran’ paling sengit di medan PRU13 nanti?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.