Jumaat, 29 Mac 2013

HINDRAF jangan ulangi pengalaman Suqiu



Oleh Lim Hong Siang 

Saya terbaca satu "jenaka" di internet, yang mungkin juga kisah benar. Seorang makcik tua sedang menerima BR1M-nya, dan kebetulan seorang ahli MCA berada di situ. Maka ahli MCA pun bertanya kepada makcik tua itu, "Auntie, kepada siapa harus anda berterima kasih setelah menerima BR1M?" Makcik itu menjawab, "Saya berterima kasih kepada Lim Guan Eng."

"Mengapa berterima kasih pula kepada Lim Guan Eng?" tanya ahli MCA. "Kalau bukan Lim Guan Eng, apakah kamu akan bahagi duit untuk saya?" balas makcik itu, disambut dengan tepukan orang di sekelilingnya.

Saya tidak berasa pelik jikalau ia benar berlaku. Dari perbualan saya bersama datuk saya yang berumur 80-an, beliau meluahkan pandangan yang sama. Beliau melihat semua peruntukan kepada rakyat pada "saat-saat yang genting" ini sebagai "gula" dari kerajaan, malah harga minyak yang "tidak naik" sejak beberapa tahun yang lalu - sebagai jasa Pakatan Rakyat. "Tanpa desakan daripada pembangkang, mustahil kita menikmati kesemua ini," kata datuk saya.

Demikianlah teorinya, menurut "pengamatan politik" yang lebih daripada lapan dekad. Beliau tidak mengaji sains politik di universiti, cuma seorang pengundi biasa yang melalui zaman sebelum dan selepas kemerdekaan dalam hidupnya. Sering kali kita mengkalungkan penghargaan di atas leher kerajaan apabila menerima manfaat daripada kerajaan. Padahal, apa yang berlaku sebenarnya adalah, "hasil" itu tidak datang tanpa perjuangan. Apa yang dilakukan pemerintah adalah "reaksi", ataupun "tindak balas" terhadap situasi semasa - mungkin kerana bantahan rakyat, kritikan pembangkang, desakan badan NGO dan sebagainya.

Contoh terbaik adalah pemansuhan ISA. Saya cukup mual apabila sesetengah penganalisis politik mengagung-agungkan Najib sebagai "reformis" lantaran pemansuhan akta zalim itu, sedangkan rakyat yang bangkit menentang ISA pada 1 Ogos 2009 dibedil dengan 973 butiran gas pemedih mata oleh regim Najib - lebih-lebih lagi dilabel sebagai "Melayu bacul" kerana "yang ditahan ISA adalah pemimpin HINDRAF, ni Melayu sibuk-sibuk nak buat apa?"

Malah, kita perlu mengakui bahawa Pakatan Rakyat yang kini menawarkan segala yang terbaik untuk rakyat, juga kerana bersaing dengan BN dalam sistem politik sedia ada. Meskipun saya mengakui bahawa terdapat ahli politik yang sememangnya berjiwa murni untuk memperjuangkan nasib rakyat, tetapi hakikatnya "spesies" ini adalah minoriti, malah hampir pupus. Sejak awal lagi teori politik mengandaikan manusia mementingkan diri sendiri, lantas pembinaan sesebuah sistem politik yang utuh adalah mustahak untuk menjamin kepentingan awam.

Tetapi pembinaan "sistem baru" ini bukanlah sesuatu yang mudah, ia memerlukan masa, malah mungkin digagalkan berkali-kali sepanjang proses ini. Justeru itu, mereka yang tidak kesabaran senang pasrah sebelum hasilnya sempat dituai.

Saya boleh memahami perasaan masyarakat India, meskipun mungkin bukan sepenuhnya. Saya antara wartawan yang paling awal membuat liputan tentang HINDRAF, ketika NGO ini lantang bersuara dalam isu pencerobohan kuil Hindu. Perkembangan selanjutnya sememangnya di luar jangkaan, dengan kebangkitan masyarakat India pada 25 November 2007, disusuli dengan penahanan lima orang pemimpin HINDRAF di bawah ISA.

Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bersungguh-sungguh mempertahankan HINDRAF sebelum menuju ke 8 Mac 2008. Tidak dinafikan bahawa PKR, PAS dan DAP menerima "manfaat" dari segi undi lantaran pendiriannya dalam isu HINDRAF, tetapi perlu diingatkan bahawa mereka juga boleh memilih pendirian sebaliknya, untuk mengaut undi Melayu. Untuk membincangkan isu ini di luar kerangka "undi", mesej yang disampaikan pembangkang ketika itu sebagai satu wacana untuk meredakan ketegangan antara Melayu dengan India. Malah ia boleh dilihat sebagai "pendidikan politik" yang mengajar bagaimana perbezaan dalam masyarakat harus ditangani - bukan dengan keangkuhan kuasa, tetapi mendengar rintihan masyarakat minoriti, dan kemudian bermuafakat untuk penyelesaiannya.

Pendekatan ini satu anjakan paradigma, yang akhirnya memaksa Umno-Bn akur dan membebaskan kesemua tahanan HINDRAF di bawah ISA. Saya mengimbas kembali ingatan ini, tatkala satu pertemuan sedang berlangsung antara HINDRAF dengan Najib Razak - berakhir dengan janji Najib bahawa lebih perbincangan berhubung masalah masyarakat India akan diadakan pada masa depan.

HINDRAF semestinya mempunyai hak untuk menemui mana-mana parti politik, dan kita tidak berhak untuk menghalang pertemuan politik sedemikian. Cuma saya ingin berkongsi pengalaman bagaimana masyarakat Cina berdepan dengan senario sedemikian, pada tahun 1999.

Semestinya politikus akan berjanji segala-gala pada saat-saat yang genting untuk dirinya. Pengalaman Suqiu (Rayuan Pilihan raya) pada tahun 2000 masih tidak terpadam dari ingatan. Mahathir mengecam Suqiu sebagai pengganas pada tahun 2000, selepas dirinya terselamat dalam PRU 10 dengan undi Cina.

Beliau tanpa segan silu mengakui, bahawa dirinya menerima Suqiu pada tahun 1999 untuk meraih undi Cina.

Rakan-rakan dari HINDRAF, sejarah berulang jikalau manusia tidak belajar daripadanya. Semoga Rangka Tindakan HINDRAF tidak dijadikan ulangan Suqiu dalam versi bahasa Tamil.

*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.