Jumaat, 29 Mac 2013

Bubar Dun: Pakatan sudah 'faham' taktik pusat, kata MB Selangor

JANATUL FIRDAUS YAACOB

Abdul Khalid
Abdul Khalid merasmikan Sistem Aplikasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor, semalam
 
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akhirnya menamatkan teka teki mengenai tarikh pembubaran Dun apabila memilih 22 April iaitu tarikh pembubaran secara automatik sekiranya Parlimen masih tidak dibubarkan lagi.

"Keputusan Selangor menetapkan tarikh 22 April untuk pembubaran Dun adalah tempoh yang tepat dan menghampiri pembubaran automatik Parlimen 28 April.

“Bagaimanapun, sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen lebih awal dari tarikh yang kita jangkakan, kerajaan negeri tidak ada masalah untuk menyertainya,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Sistem Aplikasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor, semalam.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid berkata, pimpinan Pakatan Rakyat (PR) telah mengadakan perbincangan dan memutuskan akan mengadakan pilihan raya serentak antara kerajaan negeri dan pusat.

“Kita telah melihat 'permainan' Kerajaan Negeri Sembilan iaitu dengan membiarkan Dun terbubar sendiri dan bukannya dibubarkan. Keputusan ini telah menimbulkan beberapa persoalan.

“Oleh sebab itu, PR berpendapat kita akan lakukan serentak setelah memahami taktik dan strategi yang dilakukan oleh kerajaan pusat. Kita akan jalankan pilihan raya serentak dengan pusat,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, komponen PR dengan sabar akan menunggu keputusan pembubaran Parlimen daripada Perdana Menteri bagaimanapun, menegaskan tarikh 22 April adalah tarikh akhir penantian mereka.

Ketika diminta mengulas berhubung persediaan PR Selangor menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Abdul Khalid berkata, mereka tidak akan membuat kesalahan.

Pada majlis sama, Abdul Khalid turut merasmikan sistem aplikasi Pejabat Tanah dan Galian Selangor dengan harapan dapat mengurangkan birokrasi dalam sistem pengurusan berkaitan penjawat awam.

Menurut beliau, Sistem Web Based Pengurusan Hak milik Strata Berkomputer (e-SPHS)  telah diperluas bermula Mac ini kepada Modul Cetak Geran Hak milik Strata, Pendaftaran Penyerah dan Pendaftaran Urus niaga dan Bukan Urus niaga secara berkomputer dan akan diperluaskan di sembilan Pejabat Tanah dan Daerah di Selangor.

“Ini merupakan langkah penting untuk menentukan Selangor berada di tahap yang membanggakan dengan melaksanakan kehendak pengguna yang mementingkan kecekapan dan ketelusan dalam setiap urusan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.