SINAR HARIAN
TUMPAT - Penyanyi lagu-lagu dikir barat terkenal Kelantan, Zaidi
Mohamad, 46, yang lebih dikenali sebagai 'Zaidi Buluh Perindu',
meninggal dunia di Hospital Tumpat akibat serangan jantung, di sini hari
ini.
Zaidi jatuh dan pengsan ketika membuat persembahan dikir barat untuk
menyambut ketibaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri
Noh Omar di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
Geting, di sini, pada 10.35 pagi dan disahkan meninggal dunia di
hospital itu pada 11 pagi.
Allahyarham yang menetap di Kampung Bunut Sarang Burung, di sini,
meninggalkan seorang isteri, Zaharina Mohamad, 47, dan tujuh anak
berusia antara 11 hingga 28 tahun.
Allahyarham turut merakamkan lebih 100 album sejak berkecimpung dalam
dunia dikir barat sejak 20 tahun lepas, dan mula terkenal selepas lagu
dikir barat bertajuk 'Juwita' mendapat sambutan menggalakkan daripada
penduduk negeri ini.
Zaharina ketika ditemui di rumahnya berkata beliau reda dengan
pemergian suaminya namun terkilan kerana hajat Zaidi untuk menunaikan
umrah pada April ini tidak tercapai.
"Pagi ini arwah sempat bersarapan sebelum turun membuat persembahan
dikir barat di Kompleks LKIM itu. Saya tidak syak apa-apa sehinggalah
menerima panggilan mengatakan arwah meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, Noh turut meluangkan masa melawat keluarga Zaidi selepas
selesai merasmikan Restoran Sri Nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK)
Tumpat serta menyampaikan elaun sara hidup tunai Parlimen Tumpat dan
Pengkalan Chepa di LKIM Geting di sini.
Turut hadir Adun Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar; Naib Ketua
Umno Tumpat Wan Hanapi Wan Yaakob dan Pengarah LKIM Kelantan, Wan Mohd
Adnan Wan Ibrahim.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunut Sarang Burung selepas solat Asar. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.