Selasa, 26 Februari 2013

Politik bomoh: Bertaubat segera

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA TERENGGANU – Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz menasihatkan ahli politik yang menggunakan khidmat bomoh untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya, supaya bertaubat.

Mengulas berhubung segelintir ahli politik khususnya yang beragama Islam, yang dikatakan mendapatkan khidmat bomoh, beliau menegaskan kepercayaan kepada bomoh adalah salah dan syirik, apatah lagi meminta bantuan mereka untuk mencapai sesuatu hasrat yang tidak baik.

Walaupun tidak mengetahui sejauh mana kebenaran berhubung penggunaan bomoh dalam kalangan ahli politik, namun beliau menegaskan, matlamat tidak menghalalkan cara dan meminta ia dijadikan peringatan kepada semua masyarakat Islam.

“Jika ada kalangan mereka ini menggunakan khidmat bomoh untuk mencapai sesuatu kejayaan, termasuk untuk menang dalam pilihan raya, minta bertaubat. Perbuatan itu salah dan syirik.

“Ada banyak cara lain untuk mencapai hasrat mereka. Tunjukkan melalui perbuatan, amanah dalam menjalankan tanggungjawab, berbudi dan keprihatinan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. Tentu disegani semua orang,” katanya.

Menurutnya, ahli politik boleh berusaha dengan melakukan ibadat seperti solat Hajat dan berdoa dengan memohon keredaan untuk diri serta kesejahteraan semua orang.

Bagaimanapun, Aizi Saidi turut mengingatkan supaya mana-mana pihak tidak mendoakan musibah kepada pihak lain.

Selain itu, katanya, ahli politik perlu sedar mereka berdepan tanggungjawab besar apabila dipilih menjadi pemimpin, selain perlu menjalankan amanah sebaik mungkin untuk membantu rakyat dan bukan disebabkan perkara lain.-sinarharian.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.