Oleh Aisha Geoffrey
KUALA LUMPUR : Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI
Bala) mendedahkan, ‘VVIP’ yang terlibat menjadi dalang di sebalik
pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu adalah Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak.
Bala
yang membuat pendedahan umum kali pertama malam tadi, sekembalinya ke
tanah air Ahad lalu menceritakan kronologi pembunuhan Altantuya bermula
beliau dipanggil bekerja oleh Abdul Razak Baginda.
Menurut Bala, Razak, sekutu rapat dan orang kepercayaan Najib yang
ketika itu Timbalan Perdana Menteri mengarahkan supaya beliau melindungi
rumah dan anaknya 24 jam selama 10 hari.
Beliau mendedahkan perbualan Razak bersama seorang individu ketika pertemuan mereka.
“Semasa (saya) bertemu Razak, dia menerima panggilan dari seseorang
bernama ‘Tan’ yang mengugut akan mencederakan anak Razak jika beliau
tidak membayar wang ‘wanita’ itu,” kata Bala, merujuk Altantuya.
“Kemudian
saya tanya kenapa tak buat laporan polis? Razak jawab tak boleh, sebab
ada VVIP yang terlibat. Saya tanya lagi kenapa tak halang saja dia
(Altantuya) dari masuk negara ini? Razak kata tak boleh, Altantuya ada
banyak pasport,” kata Bala di hadapan 3,000 hadirin pada forum
‘Pendedahan: Siapa Arah Bunuh Altantuya?’ di Dewan Perhimpunan Cina
Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).
Menurut Bala lagi, Razak memberitahunya, Altantuya menuntut bayaran
sebagai perantara dalam urusan pembelian kapal selam di Perancis
sebanyak USD500 juta dan tiga tiket kapal terbang pulang ke Mongolia.
Kata Bala, kali terakhir dia melihat Altantuya pada 18 Oktober 2006 iaitu di hadapan rumah Razak.
“Sebelum itu Razak cakap, kalau Altantuya ada depan rumahnya, (saya
perlu) mesej beliau (dahulu). Saya hantar SMS kepada Razak
memberitahunya (tentang kehadiran Altantuya). Kemudian Razak kata
‘lengahkan dia, tunggu sampai orang saya sampai’,” kata Bala.
“20
minit kemudian, sebuah kereta Proton Aeroback warna merah tiba dengan
seorang wanita dan dua lelaki. Wanita itu adalah Lans Korporal Rohaniza,
dan dua orang lelaki itu adalah Azilah Hadri dan Sirul Azhar (Umar).
Mereka semua berpakaian biasa. Azilah berjalan ke arah saya sementara
dua yang lain menunggu dalam kereta,” jelas Bala.
“Azilah tanya saya dalam Bahasa Melayu: ‘inikah perempuan itu’,
menyebabkan Altantuya tak faham apa yang kami cakap. Saya kata ‘ya’.
Azilah pula berkata, mereka (tiga individu berkenaan) akan bawa
Altantuya pergi. Saya beritahu Altantuya bahawa dia ditahan dan perlu
mengikut mereka naik kereta tersebut. Altantuya masuk dan duduk di
belakang bersama Korporal Rohaniza, manakala Azilah dan Sirul berada di
depan,” kata Bala.
Azilah dan Sirul – kedua-dua mereka adalah anggota polis yang
ditugaskan menjaga keselamatan Najib. Mereka bersama-sama disabitkan
kesalahan membunuh Altantuya di kawasan hutan di Shah Alam, hampir tujuh
tahun lalu.
Sah Najib terlibat
Menurut Bala lagi, beliau hanya mengetahui kematian Altantuya selepas
dipanggil ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) pada November 2006.
“Sewaktu
(saya) bertemu Razak dan peguam Puvanendran, Razak menerima SMS dan
menunjukkan kepada kami kandungan SMS itu – “Meeting IGP at 11am, be
cool”. (Pada SMS itu) tertera nombor Datuk Seri Najib Razak. Maka
terjawablah VVIP yang terlibat,” kata Bala disambut sorakan hadirin.
Mengesahkan lagi keterlibatan Najib, Bala memberitahu, adik Najib,
Datuk Nazim Razak pernah berjumpanya, mengugut dan mengarahkan beliau
menukar akuan bersumpah pertama.
“Saya dipanggil ke hotel untuk bertemu Nazim. Nazim tanya saya, kamu
sayang keluarga kamukan? Saya jadi takut dengan soalan-soalan ugutan
seperti itu dan memutuskan untuk membuat akuan bersumpah kedua,” jelas
Bala yang meninggalkan Malaysia sejak 2009 disebabkan ugutan itu.
Forum anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tersebut
dipengerusikan Presiden Kumpulan Anak Muda Independan (Kami), Khalid
Ismath.
Panelis
melibatkan kartunis politik, Zunar; Pengarah Eksekutif Suaram, Cynthia
Gabriel, manakala Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin selaku
moderator.
Hadir sama di kalangan pemimpin politik Pakatan Rakyat antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri Pandamaran, Ronnie Liu.
Kehadiran Bala disambut meriah penyokong pelbagai kaum yang melimpah hingga ke luar dewan.
Ekoran sambutan itu, penganjur memasang skrin di perkarangan dewan,
supaya hadirin dapat sama mengikuti pendedahan yang dinanti-nantikan
itu.
Turut sama mengambil peluang, para peniaga yang membuka gerai jualan seperti baju dan makanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.