Jumaat, 1 Februari 2013
Najib janji bina litar lumba di Kedah
Pembinaan sebuah litar lumba buat golongan muda di Kedah merupakan antara perkara yang akan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) khusus untuk negeri ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata kerajaan negeri sedia ada pernah berjanji untuk membina litar lumba untuk orang muda tetapi sudah hampir lima tahun memerintah, litar itu masih belum dibina.
"Mana dia litar? Saya nak janji pada saudara saudari kita akan masukkan dalam manifesto di Kedah buat litar lumba. Janji kita janji ditepati bukan seperti janji pembangkang," katanya pada Program Himpunan Orang Muda Negeri Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti Alor Setar hari ini.
Beliau berkata ada juga cadangan daripada Majlis Belia Negeri Kedah supaya kerajaan membantu golongan muda yang hendak berkahwin dalam hal kursus pra-perkahwinan.
"Kita akan masukkan dalam manifesto juga untuk tanggung RM100 bagi setiap kursus dengan syarat untuk perkahwinan pertama dan sekali sahaja. Saya akan luluskan peruntukan nanti.
"Banyak lagi hendak dibuat...tunggu manifesto yang akan kita lancarkan khusus untuk Kedah. Kita akan tunjuk kepada rakyat. Masa dah tiba...lima tahun dah cukup, masa perubahan sudah sampai," katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang mendengar suara orang muda dan di bawah kerajaan BN, hari esok akan lebih baik.
Katanya kerajaan BN mempunyai dasar yang serasi dengan golongan muda dan dasar transformasi kerajaan adalah untuk menyediakan legasi dan peninggalan untuk orang muda.
Najib berkata kerajaan BN tidak menyuruh orang muda melakukan perkara yang merosakkan negara.
"Saya baru balik dari bumi Gaza, Palestin. Saya boleh lihat keruntuhan sebuah negara tetapi dilakukan oleh musuh mereka. Jangan pula kita rosakkan negara kita sendiri. Kita akan jadi negara maju dalam masa tujuh tahun akan datang. Inilah janji kita," katanya.
Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, Timbalan Pengerusi Umno Negeri Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Naib Ketua Puteri Umno Shahanim Mohd Yusoff dan Ketua Pemuda Umno Negeri Kedah Badrul Hisham Hashim.
Menerusi Program Himpunan Orang Muda itu yang bermula hari ini sehingga Sabtu, beberapa program diatur seperti BN Youth Job Fair melibatkan 83 syarikat yang menawarkan lebih 4,500 pekerjaan, pameran oleh agensi kerajaan dan swasta serta gerai niaga.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.