Sabtu, 2 Februari 2013

Musa Hassan dakwa PR mahu wujud semula ISA

Wartawan Sinar Harian

Tan Sri Musa Hassan
Tan Sri Musa Hassan 
 
PETALING JAYA - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemungkinan besar mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekiranya Pakatan Rakyat (PR) menang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau berkata, ia berikutan tindak tanduk Anwar dan kenyataan PR yang sering berubah-ubah dalam sesuatu isu, maka tidak mustahil akta tersebut diwujudkan semula jika mereka berkuasa.

Menurutnya, ia berikutan ISA diakui oleh ramai pihak sebagai satu undang-undang pencegahan yang berkesan, malah banyak negara termasuk Amerika Syarikat meniru akta tersebut.

"Kita tidak tahu apa yang ada dalam hati beliau (Anwar), tidak mustahil ISA boleh diwujudkan semula jika mereka memerintah.

"Kenapa saya berfikiran begitu, kerana mereka sudah memulakan budaya huruhara, memainkan isu perkauman, agama dan memainkan soal keselamatan negara," katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, beliau gembira ISA tidak lagi wujud kerana PR tidak boleh lagi menyumbat orang ke dalam penjara jika mereka berkuasa.

Dakwa Dr Mahathir lagi, perkara pertama yang pembangkang akan lakukan jika berkuasa adalah menutup pintu keluar masuk negara dan menangkap pemimpin lawan.

Selain itu, Musa turut menegaskan 'Arab Spring' boleh tiba di negara ini sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah pencegahan berkesan daripada sekarang.

Katanya, jika perkara tersebut berlaku, segala pembangunan dan kemajuan yang dikecapi negara sejak 56 tahun lalu sia-sia.

"Sebagai rakyat, semua pihak perlu menjaga keamanan negara, jangan termakan hasutan yang mahu menghuru-harakan negara. Dalam hal ini kerajaan kena pastikan ia tidak berlaku.

"Saya juga melihat ada usaha pihak luar yang mahu negara kita hancur dari dalam, melalui musuh yang halimunan," katanya.

Ditanya mengenai musuh halimunan ini, Musa berkata musuh ini sukar dikesan kerana mereka bergerak di kalangan rakyat negara ini.

"Ancaman itu semakin lama semakin besar, mereka bercita-cita menawan negara ini. Jadi tugas sekarang adalah menyedarkan rakyat tentang bahaya perkara ini dan apa perancangan mereka untuk rosakkan negara.

"Dulu pihak luar bergerak melalui CIA untuk musnah negara lawan, sekarang tidak lagi kerana semua sudah tahu, mereka sekarang bergerak melalui NGO-NGO yang berada dalam negara," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.