Empat teras utama tersebut adalah Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.
Manifesto ini diumumkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran.
Rakyat Bersaudara
Dalam teras Rakyat Bersaudara, PR memfokuskan kepada beberapa bahagian, antaranya setiap isteri layak menerima Caruman Wanita Malaysia sebagai jaringan keselamatan sosial menjamin kebajikan mereka.
Di bawah caruman ini, suami wajib di sisi undang-undang mencarum mengikut kadar pendapatan antara RM10 hingga RM100 sebulan dengan syarat caruman ini boleh dikeluarkan isteri dalam keadaan tertentu seperti penceraian, musibah, kemalangan dan genap umur 50 tahun.
Kerajaan juga menyumbang RM50 sebulan kepada setiap isteri dan caruman ini akan diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial.
Selain itu, PR akan meluaskan Skim Bonus Warga Emas yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang ke seluruh negara, dengan memberi bonus RM1,000 setiap tahun kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Dalam teras ini juga, PR akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (Gabungan Sekolah Menengah Cina) atau UEC bagi tujuan kemasukan institusi pendidikan tinggi dan kelayakan bagi tujuan permohonan kerja.
Ekonomi Rakyat
Dalam teras Ekonomi Rakyat, PR mengulangi janji-janji yang telah diumumkan sebelum ini, antaranya setiap keluarga di negara ini akan membawa pulang pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan selepas penggal pertama pemerintahan PR di Putrajaya.
PR turut mengulangi janji gaji minimum dengan setiap pekerja akan dibayar sekurang-kurangnya RM1,100 sebulan.
Selain itu, PR mengumumkan cukai rakyat diselaraskan demi kesaksamaan antara pendapatan tinggi dan sederhana.
Jalur pendapatan akan dilebarkan agar kadar cukai 26 peratus hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai melebihi RM400,000 ke atas berbanding RM250,000 sekarang.
Kesejahteraan Rakyat
Teras ketiga, PR bertekad menurunkan harga minyak sejurus selepas PR berjaya menawan Putrajaya. Selain itu, caj elektrik diturunkan dengan PR menyalurkan subsidi berjumlah RM25 bilion terus kepada rakyat.
Penghapusan tol secara berperingkat juga dimasukkan dalam manifesto ini, seperti yang dijanjikan dalam Buku Jingga, dengan pembiayaan operasi lebuhraya ditampung dana RM5 bilion.
Selain itu, PR juga akan menghapuskan cukai eksais kereta berjumlah 70 peratus sekarang dalam tempoh lima tahun.
Apa yang menarik dalam manifesto ini, PR berjanji akan menghapuskan Sistem Perlaksanaan Automatik (AES) dan membatalkan saman yang telah dikeluarkan.
Kerajaan Rakyat
Dalam teras terakhir, antara intipati menarik adalah PR akan menghapuskan semua undang-undang yang menyekat kebebasan media terutamanya Akta Percetakan dan Penerbitan dan prosedur perlesenan media.
Berikut empat teras utama manifesto Pakatan Rakyat :-
1) Rakyat Bersaudara
- Menghapus diskriminasi
- Mengiktiraf sumbangan wanita dan warga emas
- Merangkum semua aliran pendidikan
- Mengembalikan hak Sabah Sarawak seperti Perjanjian 1963
- Hak tanah dan kebajikan Orang Asli dipelihara
- Kehormatan amalan agama
2) Ekonomi Rakyat
- 1 juta peluang pekerjaan untuk rakyat
- Perkongsian produktiviti yang adil melalui gaji minimum
- 1 juta tenaga kemahiran terlatih dari kalangan lepasan sekolah
- Reformasi pendidikan merangsang ekonomi
- Membudayakan perkongsian bijak kesatuan sekerja, majikan dan kerajaan
- IKS dan inovasi teras ekonomi negara
- Pelarasan percukaian rakyat demi kesaksamaan
- Ekonomi lestari
- Membela ekonomi dan kebajikan prajurit
- Memberdayakan usahawan teksi
- Pelaburan R&D mencecah 5 peratus dari KDNK
- Pengangkutan awam nadi ekonomi negara
- Memecah monopoli merancakkan persaingan
3) Kesejahteraan rakyat
- Mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dengan menurunkan harga dan menghapuskan monopoli
- Merombak dasar automotif untuk mengurangkan bebanan rakyat
- Perumahan selesa dan mampu milik untuk semua
- Pendidikan percuma untuk semua, hapus PTPTN
- Hapus AES, batal saman AES
- Keadilan untuk warga Felda
- Keselamatan rakyat
- Kemudahan kesihatan asas percuma dijamin
- Membina jaringan keselamatan sosial rakyat
4) Kerajaan rakyat
- Reformasi institusi Islam dan keagamaan
- Pakej pengajian dan perkhidmatan baru penjawat awam
- Pilihan raya yang bersih, adil dan telus
- Reformasi institusi kehakiman, Pejabat Peguam Negara, SPRM dan PDRM
- Reformasi Parlimen
- Kebebasan media dan mengembalikan amanah kepada pengamal media
- Memansuhkan Auku dan menjamin kebebasan akademik
- Memansuhkan semua undang-undang antirakyat
- Dasar Banteras Rasuah Negara (DEBARAN)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.