Rabu, 27 Februari 2013

Kos tunai manifesto hanya RM45 bilion, kata Pakatan

JAMILAH HAMZAH

rafizi ramli
Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli
 
PETALING JAYA - Manifesto Pakatan Rakyat (PR), yang dilancarkan kelmarin, hanya akan menelan kos RM45 bilion apabila dilaksanakan sepenuhnya kelak, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, manifesto empat teras itu  mengambil kira kos aliran tunai setiap tahun untuk melaksanakan perkara-perkara yang digariskan.

Menurutnya, PR juga tidak akan melaksanakan manifesto ini sekali gus, sebaliknya secara berperingkat-peringkat.

"Jumlah keseluruhan yang diperuntukkan hanya akan menelan belanja sebanyak RM45.75 bilion.

"Ini bermakna ia tak benar seperti dakwaan BN yang mengatakan manifesto kita akan menelan belanja yang lebih besar daripada kerajaan sebelum ini.

"BN hanya nak takutkan rakyat, kita telah ambil kira aliran tunai setiap tahun dan akan dilakukan secara berperingkat kepada rakyat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya, PR juga menggunakan pendekatan yang berbeza berbanding BN iaitu mengekang pembaziran dengan membanteras rasuah dan menyusun keutamaan dalam perbelanjaan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.

"Kita akan gunakan pendekatan yang berbeza dengan BN yang lebih telus," katanya lagi.

Difahamkan, kerajaan Selangor yang diperintah pembangkang dalam projek kerja raya 2012 telah dapat membuat penjimatan sebanyak 24 peratus daripada RM10 bilion yang diperuntukkan.

Oleh itu katanya, jika 24 peratus dapat dilaksanakan ke atas setiap projek di bawah kawalan kerajaan yang menelan belanja sebanyak RM206 bilion pada tahun ini,  maka RM49 bilion boleh dijimatkan.

Selain itu, manifesto ini dapat dilaksanakan apabila berlakunya peningkatan hasil pertumbuhan ekonomi akan mencecah tujuh peratus.

Dalam pada itu kutipan cukai tambahan pada nisbah purata 20 peratus akan membawa pendapatan tambahan RM4 bilion setiap tahun dan penyusunan semula keutamaan peberlanjaan seperti pemberian subsidi, rundingan monopoli dan pampasan, dan sebagainya dapat meneruskan pelaksanaan manifesto kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Rafizi juga berkata, dalam melaksanakan manifseto, PR akan memberi keutamaan dalam sesuatu perkara yang berkaitan dengan rakyat terlebih dahulu.

Rafizi juga berkata, sejak 40 tahun lalu BN hanya menggunakan manifesto sebagai alat menggulakan rakyat untuk memancing undi pada pilihan raya berbanding PR.

"Kita akan utamakan yang berkaitan rakyat terlebih dahulu seperti pendidikan, persekolahan dan sebagainya.

"Bukan seperti BN yang membelanjakan berjuta ringgit untuk menyiapkan bangunan Seri Perdana dan menggulakan rakyat dengan janji paslu," katanya.

Isnin lalu, PR telah membentangkan manifestonya pada konvensyen kali keempat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.