Jumaat, 1 Februari 2013

Komplot polis & HKL untuk tutup pembunuhan Sugumar – Surendran

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Dolak-dalik polis dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung tuntutan bedah siasat kedua C Sugumar dipercayai untuk mengelak keganasan polis ke atas mendiang terbongkar.

Kelewatan polis mengeluarkan kebenaran bertulis kepada hospital tersebut untuk bedah siasat kedua mangsa turut dikecam.

Sugukumar

Naib Presiden KEADILAN, N Surendran berkata, polis sengaja melengahkan bedah siasat supaya kes yang didakwa sebagai pembunuhan itu tidak diketahui umum.

“Peguam mendiang Sugumar, Eric Paulsen hari ini memaklumkan bahawa HKL tidak akan membuat bedah siasat kedua selagi polis belum mengeluarkan kebenaran bertulis.

“Polis dan HKL juga dianggap berkomplot kerana gagal memberikan jawapan memuaskan kepada kita,” katanya kepada Keadilan Daily.

“Bila tanya polis, mereka suruh kita tanya HKL begitulah sebaliknya. Sikap seperti ini memang dangkal dan memualkan!” katanya.

Beliau menambah, kelembapan polis mengeluarkan surat kebenaran kerana mahu menyembunyikan fakta sebenar pembunuhan Sugumar.

“Polis takut jika bedah siasat kedua dibuat, kezaliman polis yang menyebabkan kematian Sugumar akan diketahui orang ramai.

“Kita desak polis segera bantu siasatan untuk HKL buat bedah siasat kedua. Jangan sembunyikan kebenaran!” tegasnya.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah berkata, tiada halangan bedah siasat kedua dijalankan seperti diminta keluarga mangsa asalkan kos pembedahan itu ditanggung sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.