SHAH ALAM, — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5
April ini untuk membuat keputusan terhadap saman pemula yang difailkan
Tan Sri Annuar Musa berhubung penggantungan beliau sebagai Timbalan
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Hakim Hadhariah
Syed Ismail menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya. Peguam Yusfarizal
Yussoff yang mewakili Annuar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah
berkata hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran kes itu tetapi
pihak defendan memohon penangguhan atas alasan belum memfailkan hujahan
bertulis.
Beliau berkata defendan juga memohon penangguhan
kerana telah memfailkan permohonan di bawah Aturan 33 Kaedah-kaedah
Mahkamah 2012 bagi mahkamah memutuskan persoalan undang-undang.
"Pihak
kami membantah penangguhan itu kerana arahan mahkamah untuk
mengemukakan hujahan bertulis sudah lama tetapi mereka tidak berbuat
demikian dan mereka sepatutnya memfailkannya Jumaat lepas.
"Kami
juga membantah kerana mahkamah telah menetapkan hari ini untuk
pendengaran kes tetapi mereka failkan permohonan terlalu lewat iaitu
semalam," katanya.
Yusfarizal berkata Hadhariah membenarkan kes
ditangguhkan sehingga 26 Mac ini dan pada tarikh sama mahkamah akan
mendengar permohonan yang difailkan oleh pihak defendan itu.
Beliau
berkata mahkamah juga memerintahkan defendan memfailkan hujahan
bertulis dalam masa tiga minggu dan menetapkan 5 April ini untuk
keputusan.
Pada 5 Jun 2012, Annuar selaku plaintif memfailkan
saman pemula di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dengan
menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agungnya, Datuk
Azzudin Ahmad sebagai defendan kedua.
Dalam pernyataan
tuntutannya, Annuar mendakwa hukuman yang dijatuhi terhadapnya tidak
sejajar dengan pertuduhan asal dan draf pertuduhan terhadapnya
mengandungi kecacatan serta FAM bertindak secara mala fide (berniat
jahat).
Beliau berkata Azzudin dalam surat bertarikh 2 April
2012 juga melarang beliau daripada menghantar wakil ke Mesyuarat Khas
Ke-21 Jawatankuasa Tatatertib FAM dengan alasan defendan kedua sendiri
yang akan mewakili beliau.
Sedangkan, katanya, Azzudin tidak
sepatutnya menjadi wakil beliau kerana defendan kedua adalah pihak yang
membuat tuduhan. Sehubungan itu Annuar menuntut 10 perisytiharan
berhubung tindakan FAM yang membawa kepada penggantungan beliau,
antaranya ialah pertuduhan FAM terhadap beliau dalam sepucuk surat
bertarikh 16 Mac 2012 adalah cacat, tidak sah dan terbatal.
Annuar
juga mendakwa perbicaraan tatatertib pada 4 April 2012 dan hukuman
terhadap beliau pada keesokan harinya (5 April 2012) tidak mematuhi
prinsip keadilan asasi.
Selain itu, beliau memohon mahkamah
mengisytiharkan bahawa kesemua tindakan yang membawa kepada
penggantungan beliau itu tidak mematuhi status dan kod tatatertib FAM
yang sekali gus menjadikan ia terbatal dan tidak sah.
Annuar
turut memohon perintah injunksi menghalang pihak defendan daripada
melarang beliau untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden FAM
dan jawatan lain serta melibatkan diri dalam sebarang acara bola sepak.
Pada
4 April 2012, Annuar dikenakan hukuman gantung 30 bulan oleh
Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas jawatankuasa itu mendapati beliau
bersalah membuat kenyataan akhbar negatif mengenai skuad bola sepak
negara pada 12 Feb 2012.
Akibat hukuman itu, Annuar tidak
dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti badan induk bola sepak
negara, serta aktiviti Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di mana
beliau adalah Presiden. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.