Khamis, 28 Februari 2013

Isu ceroboh Sabah: Risalah disebar minta penceroboh serah diri

SINAR HARIAN

LAHAD DATU - Risalah-risalah dalam bahasa Suluk meminta penceroboh rakyat Filipina menyerah diri disebar di sekitar kawasan Kampung Tanduo sejak semalam tetapi setakat ini pihak keselamatan Malaysia belum menerima sebarang reaksi daripada kumpulan itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata sejak risalah itu ditabur, belum ada maklum balas daripada kumpulan penceroboh itu.

"Saya percaya mereka telah mendapat 'flyers' itu," katanya pada sidang akhbar, hari ini, mengenai perkembangan terkini usaha menamatkan insiden yang bermula sejak kumpulan yang mendakwa sebagai Tentera Diraja Sulu menceroboh perkampungan nelayan kira-kira 130km dari sini 12 Februari lepas.

Hamza berkata, pasukan keselamatan tidak teragak menggunakan kekerasan sekiranya anggotanya terancam.

"Kami tidak mahu mereka (penceroboh) meletakkan pasukan polis atau pasukan keselamatan kita dalam satu situasi di mana kami tidak ada pilihan lain (kecuali mengambil tindakan kekerasan).

"Kita kena ingat bahawa tujuan kita adalah untuk menyelamatkan nyawa. Tapi nyawa pasukan keselamatan lebih penting daripada nyawa mereka (penceroboh)," katanya.

Hamza berkata, sebarang tindakan oleh pihak keselamatan adalah berlandaskan peruntukan undang-undang serta mengambil kira sebarang kemungkinan dan kesan tindakan yang diambil. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.