SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang eksekutif sebuah syarikat pada
Jumaat lepas, kerana disyaki meliwat seorang pelajar perempuan berusia
13 tahun di sebuah hotel di Jalan Kuchai Lama di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata lelaki berusia 40
tahun itu ditahan di Lumut, Perak susulan laporan polis yang dibuat ibu
bapa mangsa selepas dimaklumkan mengenai insiden yang dikatakan berlaku
pada 8 Feb itu, oleh guru kaunseling sekolah anak mereka.
"Pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Brickfields itu mengenali
suspek melalui laman sosial Facebook dan dipercayai terpedaya dengan
ajakan lelaki itu (untuk bertemu)," katanya kepada pemberita di Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mohmad berkata suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes
disiasat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan kerana meliwat.
Katanya suspek juga disyaki melakukan perbuatan sama terhadap tiga
rakan mangsa dan polis meminta individu berkenaan tampil membuat laporan
polis.
Mengulas lanjut, beliau berkata modus operandi suspek adalah mendekati
mangsa dengan menghadiahkan barangan kesukaan mereka sebelum dibawa ke
hotel. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.