Isnin, 25 Februari 2013

DAP pastikan undi Cina untuk KEADILAN & PAS

Oleh Aisha Geoffrey

SHAH ALAM : Pengerusi Biro Pilihan Raya DAP, Tan Kok Wai menjamin, KEADILAN dan PAS mendapat sokongan padu pengundi Cina di semua kawasan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

“Pengundi Cina adalah kekuatan kita (DAP). Justeru kita akan memastikan dan membantu parti gabungan Pakatan Rakyat iaitu KEADILAN dan PAS untuk mendapat hak kepercayaan pengundi Cina, tidak kira di mana-mana kawasan,” kata Ahli Parlimen Cheras itu.

PR

Kok Wai menyampaikan amanatnya dalam Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, dekat sini, hari ini.

Menurutnya, menjelang PRU 13, Pakatan Rakyat perlu bergerak dan berkempen sebagai satu entiti dengan semangat kerjasama dan saling membantu untuk menang.

“Untuk mencapai matlamat memulakan budaya politik baru selepas PRU 13, Pakatan Rakyat perlu mengalahkan BN dan mesti mendapat kemenangan besar dan membanggakan,” katanya.

“Untuk itu, Pakatan mesti bersatu dalam berkempen meliputi aspek idea dan mesej, dan memastikan jentera masing-masing berkempen sebagai satu entiti,” katanya.

Kata Kok Wai, dengan cara itu, rakyat yakin Pakatan bersatu dan berkhidmat untuk semua kaum seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita juga perlu yakinkan rakyat bahawa ‘peperangan’ kali ini bukan saja perjuangan Pakatan melawan BN, tetapi untuk ke arah Malaysia yang lebih baik.

“Beritahu pemimpin kerajaan sekarang bahawa undi kami tidak ternilai, dan undi rakyat bukan untuk dihina,” tegasnya disambut tepukan kira-kira 1,500 perwakilan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.