Selasa, 26 Februari 2013

Dakwat kekal dalam PRU13

Wan Ahmad Wan Omar (Timbalan Pengerusi SPR)

SPR: Jangan pertikai dakwat kekal
Noha Mohd Fadrullah, yang berkerusi roda, ditanda dakwat pada jari sebelum layak diberi kertas undi - Foto Bernama
 
SPR akan menggunakan dakwat kekal untuk mencalit jari pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Ini bertujuan untuk mengelak kemungkinan ada percubaan oleh mana-mana pengundi (yang tidak bertanggungjawab) untuk mengundi lebih dari sekali di tempat mengundi yang berlainan.

Keputusan untuk menggunakan dakwat kekal, jika dilihat dari sudut  tahap kemajuan sesebuah negara, sebenarnya meletakkan Malaysia di dalam kumpulan yang sama dengan beberapa negara lain yang kurang maju seperti di Afrika atau sama seperti kalangan negara-negara yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai seperti India, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.

Negara-negara berkenaan terpaksa menggunakan dakwat kekal pada hari pengundian untuk mencalit jari pengundi kerana mereka tidak mempunyai keupayaan atau belum dapat menyediakan daftar pemilih untuk pilihan raya yang kemas kini dan bersandarkan kepada satu pengkalan data rasmi yang terkini.

Oleh yang demikian, bagi mengelak pengundi melakukan penipuan untuk mengundi lebih dari sekali, jari mereka yang telah mengundi terpaksa ditanda dengan dakwat kekal selama beberapa hari di kulit atau di kuku.

Dengan cara ini, setiap individu yang telah mengundi tidak boleh menipu untuk mengundi lebih dari sekali.

Bagi negara-negara mundur, dakwat kekal dalam proses pilihan raya terpaksa di gunakan kerana kemajuan teknologi maklumat untuk menyediakan sistem pendataan rakyat belum dapat diadakan.

Suatu sistem pendaftaran rakyat secara menyeluruh bagi tujuan mewujudkan pengkalan data  warganegara  yang kemas kini  dan sistematik yang disimpan di pusat penyimpanan maklumat setiap warganegara telah dilaksanakan di negara kita iaitu diuruskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kemajuan bidang teknologi maklumat di Malaysia telah memberi keupayaan dan kepakaran kepada JPN untuk mewujudkan  suatu pengkalan data  yang sistematik bagi menyimpan semua rekod  warganegara  secara selamat.

Oleh yang demikian, dengan bersandarkan pengkalan data  di JPN, daftar pemilih yang disediakan oleh SPR sekarang sudah tentu mempunyai rekod Warganegara yang sah dan tulen yang tidak harus dipertikaikan kesasihannya oleh mana-mana pihak.

Beberapa negara demokrasi  besar di dunia yang menggunakan dakwat kekal pada hari pengundian, penggunaannya adalah terpaksa kerana negara berkenaan mempunyai jumlah rakyat dan pengundi yang terlalu ramai.

Bagi negara-negara ini, untuk melaksanakan satu sistem pendaftaran rakyatnya secara menyeluruh bagi mewujudkan sistem pengkalan data yang lengkap dan kemas kini belum dapat diusahakan.

Di dalam keadaan sedemikian, adalah amat sukar bagi pihak agensi yang menguruskan  pilihan raya di negara-negara berkenaan  untuk  menyediakan suatu daftar pemilih yang  tepat dan kemas kini untuk diguna pakai di seluruh negara semasa pilihan raya.

India mempunyai 750 juta pengundi, Pakistan (120 juta), Bangladesh (80 juta), Indonesia (130 juta), Filipina (50 juta) dan Mexico (60 juta) semua  terpaksa menggunakan dakwat kekal untuk memastikan tidak berlaku penipuan mengundi lebih dari sekali  di pusat-pusat mengundi yang berlainan.

Kesahihan sesuatu maklumat pengundi dalam daftar pemilih sewajarnya boleh dipertikai oleh parti-parti politik kerana ketiadaan suatu pengkalan data pusat sebagai sumber rujukan untuk  agensi yang menguruskan pilihan raya dalam menyediakan daftar pemilih bagi seluruh negara.

Negara-negara berkenaan juga tidak mempunyai sistem Kad Pengenalan berbentuk canggih yang mengandungi ‘identifier’ unik yang  membezakan seorang pengundi dengan pengundi yang lain seperti yang terdapat di negara kita.

Sesuatu daftar pemilih yang tidak bersandarkan kepada pengkalan data warganegara yang  berpusat seperti yang terdapat di JPN, maka tidak mungkin daftar pemilih yang disediakan itu   merupakan daftar yang sahih dan mengandungi setiap  maklumat pengundi yang dikemas kini bagi setiap kawasan pilihan raya.

Sebagai jalan penyelesaian dalam pilihan raya, penggunaan dakwat kekal merupakan satu-satunya  kaedah yang mudah dan murah untuk memastikan seorang individu yang telah mengundi itu tidak dapat untuk mengundi lagi di tempat lain.

Dalam PRU Ke-13 ini, kaedah yang sama akan diperkenalkan oleh SPR iaitu dakwat kekal akan digunakan untuk mencalit  satu tanda di hujung jari telunjuk kiri pengundi sebaik sahaja nama dan Nokad pengenalannya disemak dan sah.

Bagi pengundi yang cacat anggota jari seperti ketiadaan jari telunjuk kiri, calitan akan dibuat di jari yang lain.

Jika pengundi tidak mempunyai jari, calitan tanda dakwat akan dibuat di  mana-mana bahagian lengan yang boleh dilihat.

Selepas jari  pengundi dicalit barulah kertas undi akan dikeluarkan kepadanya. Dakwat perlu dicalit sebelum Kerani SPR mengeluarkan kertas undi adalah semata-mata bertujuan untuk memastikan semua yang datang mengundi diwajibkan jarinya dicalit dengan dakwat kekal.

Jika dakwat dicalit selepas mengundi, jika ada pengundi yang telah mengundi tetapi enggan membenarkan jarinya dicalit sudah pasti kekecohan akan berlaku di tempat mengundi berkenaan.

Atas sebab itu SPR memutuskan dakwat perlu di calit sebelum pengundi diberikan kertas undi.

Jika hendak calitan dibuat selepas mengundi, pengundi berkenaan  boleh meninggalkan tempat mengundi enggan membenarkan jarinya dicalit.  Pengundi yang enggan jarinya dicalit, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepadanya.

Tanda dakwat di jari akan kekal di kulit dan kuku pengundi selama beberapa hari. Dengan tanda dakwat kekal  di jari, pengundi yang telah mengundi tidak akan dapat menipu atau menyamar untuk cuba mengundi di tempat lain (seandainya ada rekod  pendaftaran berganda  dalam daftar pemilih yang belum sempat dikesan untuk dikeluarkan).

Walaupun SPR bersetuju menggunakan dakwat kekal, ini tidak bermakna sistem pendaftaran yang diguna pakai sekarang boleh mengizinkan seseorang  individu itu dapat  mendaftar dua kali.

Ini adalah kerana sistem pendaftaran pemilih yang dijalankan oleh SPR menggunakan ‘identifier’ 12- angka No. Kad Pengenalan yang unik maka adalah  mustahil No. 12 angka No. Kad Pengenalan itu dikeluarkan kepada dua Kad Pengenalan yang berlainan atau kepada dua Warganegara yang berlainan.

Langkah untuk menggunakan dakwat kekal dalam pilihan raya  dapat menjawab fitnah politik oleh pihak-pihak tertentu yang  membuat tohmahan atau persepsi bahawa  wujudnya ‘pengundi hantu’ yang keluar mengundi.Mereka yang membuat dakwaan sedemikian sebenarnya golongan yang tidak dapat menerima kekalahan dalam proses demokrasi.
Mereka menimbulkan persepsi ‘pengundi hantu’ sebagai justifikasi tohmahan berlaku pengundian lebih dari sekali menggunakan  alasan daftar pemilih yang dianggap ‘kotor’ dan mengandungi  pendaftaran  berganda.

Jika benar wujud pendaftaran berganda, rekod-rekod berkenaan akan dapat dikesan dengan mudah kerana ‘identifier’ 12 angka adalah unik bagi setiap warganegara yang mendaftar.

Daftar Pemilih juga disemak secara berterusan berasaskan pengkalan data rekod di JPN, semua rekod yang berganda akan dapat dikesan. Mana-mana rekod yang berganda dan palsu akan  dikeluarkan.

SPR tidak menafikan bahawa penipuan oleh pihak tertentu dalam urusan pendaftaran  boleh berlaku.

Mungkin terdapat individu yang mungkin berjaya mendaftar di dalam dua  kawasan pilihan raya yang berlainan seperti anggota tentera/polis yang telah bersara yang  mendaftar sebagai pemilih awam menggunakan Kad Pengenalan awam.

Walaupun begitu, perlu diingat bahawa pembersihan daftar pemilih dibuat SPR secara berterusan untuk  mengesan  rekod-rekod berkenaan dengan kerjasama  pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM.

Jika ada rekod yang diragui atau rekod-rekod yang telah disah meninggal dunia  atau yang telah hilang kelayakan sebagai pengundi mengikut undang-undang, maka ianya dikeluarkan dari daftar.

Purata sebanyak 30 ribu  nama pemilih dipotong dari daftar pemilih setiap suku tahun  atas  sebab kematian atau  sebab-sebab lain mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Walau pun banyak masalah dan kekangan yang terpaksa dihadapi dalam usaha membersihkan daftar pemilih, daftar pemilih induk (DPI) yang akan  diguna pakai dalam PRU Ke-13 ini adalah merupakan daftar pemilih  yang bersih dan kemas kini.

Harap maklum bahawa tidak ada mana-mana negara di dunia yang mempunyai satu daftar pemilih yang 100% bersih.

Sebagai contoh, di negara kita,  apabila nama seorang pemilih dibersihkan kerana meninggal dunia,  di hari yang sama orang lain pula meninggal dunia atau hilang layak tetapi nama  masih belum sempat dikeluarkan dari daftar pemilih berkenaan.  Pembersihan daftar pemilih ialah proses yang dijalankan SPR secara berterusan sepanjang masa.

Selain itu,  perbuatan untuk menipu  supaya dapat mengundi lebih dari sekali tidak semudah seperti yang didakwa oleh pihak-pihak yang menggunakan tohmahan tersebut untuk memperlekehkan SPR. Seseorang yang datang  untuk mengundi  akan disemak dengan teliti oleh kerani-kerani SPR di tempat pengundian serta dipantau oleh ejen-ejen parti yang hadir di situ.

Kad Pengenalan dan identiti pengundi seperti rupa, umur  setiap  pengundi disemak oleh kerani  pengundian  bagi memastikan  pengundi yang datang itu merupakan  pemilik MyKad tulen dan pengundi yang sebenar.

Ada pihak yang membuat fitnah politik kononnya berlaku pengundian berganda.

Hakikatnya  dalam  sejarah pilihan raya di negara ini  tidak pernah terbukti sama ada di dalam atau di luar mahkamah di mana-mana bahawa ada individu yang telah mengundi lebih dari sekali.

Dakwaan sedemikian hanya kedengaran dari calon-calon atau oleh parti yang kalah selepas  pilihan raya.

Semuanya tidak dapat dibuktikan dalam petisyen-petisyen pilihan raya di mana-mana mahkamah jua. Propaganda dan  dakyah tersebut berterusan setiap kali pilihan raya selesai, kerana tujuannya semata-mata untuk  menimbulkan keraguan dan persepsi buruk terhadap  daftar pemilih dan SPR.

Dalam pilihan raya,  persepsi  negatif di kalangan pengundi digunakan untuk mempengaruhi  pengundi  dalam membuat pilihan pada hari mengundi. Inilah dorongan menyebabkan pihak-pihak yang kalah sentiasa memperlekehkan daftar pemilih sebagai alasan kekalahan dalam pilihan raya.

Keputusan SPR untuk menggunakan dakwat kekal dalam PRU13 merupakan jawapan kepada tohmahan isu-isu pengundian berganda  dan pengundi hantu yang dijadikan  alasan apabila kalah dalam pilihan raya.

Walau pun dakwat kekal  akan digunakan pada PRU-13, saya  percaya isu  ketelusan proses pilihan raya  serta  sikap  tidak mahu menerima kekalahan dalam pertandingan  tidak akan berakhir.

Selagi  calon-calon yang bertanding  dalam pilihan raya tidak bersikap positif untuk  menerima  kekalahan   dan selagi  pihak-pihak tertentu  menyimpan sikap buruk sangka terhadap SPR dan proses pilihan raya, selagi itu alasan demi alasan kekalahan akan terus kedengaran dari  pihak-pihak yang kalah dalam pilihan raya.

Langkah SPR untuk menggunakan dakwat kekal pada hari mengundi adalah satu keputusan yang  betul dan sesuai  dalam keadaan sekarang sebagai kaedah untuk menghakis keraguan rakyat tentang ketelusan dan integriti proses pilihan raya.

Dakwat kekal yang digunakan ini bertujuan semata-mata untuk menghalang penipuan untuk mengundi lebih dari sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.