Jumaat, 1 Februari 2013

CEO dipecat, KSSB goyah lagi

G MANIMARAN & NURKHAIRINI JUMARI

Muka hadapan Sinar Harian Edisi Selangor 1 Februari 2013
Muka hadapan Sinar Harian Edisi Selangor 1 Februari 2013
 
SHAH ALAM - Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor, yang menjadi perhatian ekoran isu perlombongan pasir tiga tahun lalu, kini dilihat berhadapan dengan krisis pengurusan apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya dipecat.

Sinar Harian difahamkan, Wan Ab. Halim Wan Ismail, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada Julai 2010, dipecat oleh lembaga pengarahnya atas alasan salah guna kuasa dan melanggar prosedur operasi.

Pemecatannya Wan Ab. Halim, 65, dilihat mengejutkan banyak pihak dalam KSSB sendiri memandangkan kontraknya disambung dua tahun lagi oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Julai lalu.

Pemecatannya dimaklumkan kepada Wan Ab Halim secara bertulis awal bulan selepas lembaga pengarahnya melantik sebuah firma bebas untuk menjalankan siasatan.

Usaha mendapatkan pengesahan beliau dan lembaga pengarah belum berhasil.

Sinar Harian juga difahamkan lembaga pengarah mengadakan mesyuarat sehingga lewat malam tadi membincangkan isu ini.

“Beliau (Wan Ab. Halim) dipecat awal bulan ini, pemecatan berkuat kuasa akhir Januari... difahamkan akan ada CEO bulan depan,” kata sumber yang dekat dengan KSSB kepada Sinar Harian.

Isu pemecatannya juga menjadi perhatian beberapa blog yang mengaitkan dengan percaturan politik komponen Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

Blog itu mendakwa hasil siasatan tidak menunjukkan sebarang bukti dan lembaga pengarah tidak memanggil Wan Ab. Halim untuk memberi keterangan dan penjelasan berkenaan isu ditimbulkan.

Difahamkan firma siasatan kes beliau ada memanggilnya untuk mendapatkan keterangan.

“Pemecatan ini juga mengejutkan kerana Semesta tunjuk prestasi baik sejak dua tiga tahun lalu,” katanya.

Sumber memberitahu bahawa Wan Ab. Halim menerima surat bercuti daripada Menteri Besar akhir November lalu sebelum ia disambung sehingga akhir Disember.

Sumber juga berkata, Wan Ab Halim didakwa meluluskan sebuah syarikat mengadakan perlombongan pasir secara haram, yang dikatakan menerima kelulusan pertengahan tahun lalu.

Jawatan Wan Ab. Halim itu adalah jawatan baru diwujudkan kerajaan negeri dalam KSSB susulan isu pasir dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2010 ke atas dua ahli lembaga pengarahnya yang merupakan Adun.

Wan Ab. Halim, 62, yang berkelulusan dalam bidang Kejuruteraan Perlombongan dari London University, United Kingdom berpengalaman luas dalam bidang perlombongan sumber galian termasuk pasir, batu, timah, besi dan emas.

Kerajaan negeri Selangor menubuhkan KSSB bagi mempelopori industri pasir dan bahan batuan serta mineral lain secara bersepadu.

KSSB melancarkan tapak operasi pengeluaran pasirnya yang pertama di Lot 32546, Mukim Dengkil, Daerah Sepang pada 15 September 2008 yang dirasmikan oleh Abdul Khalid sendiri.

KSSB yang ditubuhkan pada 26 Jun 2008 merupakan anak syarikat kerajaan negeri Selangor dan dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

KSSB menguruskan aktiviti pengestrakan pasir mengikut tatacara dan peraturan-peraturan ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal, Pentadbir Tanah dan Pentadbir Negeri, pemegang permit pemindahan pasir sah, membayar royalti sepenuhnya untuk pasir yang dipindahkan, menjalankan dan memantau operasi pemindahan pasir mengikut peaturan, mendokong program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.