Rabu, 27 Februari 2013

Apa nasib Mahathir jika Anwar jadi PM?

Shahbudin Husin

 

Mahathir bersuara lagi. Terbaru beliau menyatakan bahawa Anwar akan mengamalkan nepotisme dan kronisme jika berjaya menjadi Perdana Menteri. 

Dengan mengambil contoh isteri dan anak Anwar yang menjadi Presiden dan Naib Presiden PKR serta bekas Setiausaha Sulitnya, Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PKR, Mahathir sekali lagi menyerang Anwar. Tujuannya tidak lain ialah supaya rakyat tidak memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dan Anwar tidak berjaya menjadi Perdana Menteri.

Sebelum ini sudah beberapa kali Mahathir bersuara mengenai Anwar dan Pakatan Rakyat. Pantang ada kesempatan, Mahathir pasti melibas musuh politik nombor satunya itu.

Beliau pernah mengingatkan rakyat agar jangan terlalu obses mahu menukar kerajaan kerana katanya kerajaan baru belum tentu menjanjikan kebaikan berbanding BN yang sudah banyak berjasa. Hujahnya ialah negara-negara Arab yang bertukar kerajaan, sebahagiannya masih tidak aman sehingga sekarang.

Mahathir juga pernah mengecam Anwar sebagai pembawa budaya demonstrasi kepada Malaysia. Katanya, sejak dulu Anwar sering menggunakan demonstrasi untuk mencapai cita-cita politiknya. Selain itu, Mahathir juga sering membuat pelbagai dakwaan terhadap Pas, DAP, PKR dan Pakatan Rakyat dengan pelbagai perkara lainnya. Seringnya beliau menjadikan isu kaum dan agama untuk melaga-lagakan parti-parti dalam PR dengan harapan keyakinan rakyat makin berkurangan terhadap gabungan pembangkang itu.

Pendeknya, serangan Mahathir terhadap Anwar dan PR sentiasa bertali arus dan tidak pernah ada kesudahannya. Jika mahu dikumpulkan kecamannya itu, sudah boleh dibuat buku tebal yang memerlukan beberapa hari untuk membacanya.

Namun yang jelasnya, semua kecaman dan serangan Mahathir itu menggambarkan ketakutannya BN akan tumbang dan PR akan mengambil alih Putrajaya. Yang lebih ditakutinya ialah jika Anwar berjaya menjadi Perdana Menteri akhirnya.

Daripada 28 juta rakyat Malaysia, tampaknya Mahathirlah yang paling takut jika BN tumbang dan Anwar menjadi Perdana Menteri, malah ketakutannya melebihi ketakutan Najib yang akan kehilangan jawatan Perdana Menteri atau Muhyiddin yang tidak tercapai hajat mendiami Seri Perdana andainya BN tewas dalam pilihanraya nanti.

Mungkin yang ingin dipertahannya ialah ego dan legasinya, walaupun tidak dinafikan kepentingan anak-anaknya dalam perniagaan dan politik turut menjadi keutamaannya.

Walaupun Anwar berkali-kali menyebut beliau tidak berdendam dengan Mahathir dan keinginannya menduduki Putrajaya hanyalah untuk menyelamatkan negara daripada dasar pemerintahan BN yang penuh kepincangan, rasuah dan salah guna kuasa, hakikatnya tiada jaminan keselesaan Mahathir sebagai seorang pesara tidak diusik langsung jika beliau mengambil alih kuasa. Sudah banyak contoh di beberapa negara, bekas pemimpin yang diheret ke muka pengadilan atas pelbagai kesalahan yang pernah dilakukan ketika berkuasa dulu.

Apatah lagi jika setelah menjadi PM nanti, desakan rakyat yang mahu Mahathir diadili menjadi bertambah kuat sehingga sukar Anwar menolaknya. Lebih sukar beliau menolak desakan rakyat itu andainya dengan membawa Mahathir ke muka pengadilan, mampu pula melonjakkan sokongan rakyat dan sanjungan dunia terhadapnya.

Beberapa pemimpin UMNO sendiri tidak menafikan hakikat itu. Kata mereka, meskipun sekarang Anwar mengatakan beliau tidak berdendam dengan Mahathir tetapi itu bukanlah jaminan tiada sebarang tindakan akan dilakukannya terhadap bekas Perdana Menteri itu, lebih-lebih lagi apa yang dilakukan Mahathir terhadap Anwar adalah sesuatu yang dahsyat dan penuh penghinaan.

Membayangkan hakikat itulah barangkali yang membuatkan Mahathir sering terganggu lenanya. Lantaran itu, selagi terdaya, beliau akan berusaha menghalang kemaraan Anwar.

Dari sudut yang lain, jika pun tiada tindakan diambil terhadap Mahathir selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, dengan kejayaan Anwar akhirnya menguasai Putrajaya juga, ia sudah cukup memalukan Mahathir sendiri. Ketika itu, beliau mungkin tidak bernilai lagi dan cakapnya pun tidak mahu didengari lagi. Legasinya dan pengaruhnya akan terpadam serta-merta.

Jika BN terus menang dan Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri, belum tentu juga Mahathir mempunyai pengaruh yang sama. Ketika itu, Najib mungkin sudah mempunyai keberanian mempamerkan belangnya sendiri sebagai pemimpin nombor satu negara dengan meletakkan orang-orangnya di beberapa posisi penting negara serta tidak lagi memperdulikan nasihat Mahathir.

Najib mungkin tidak mahu lagi terikat dan dibayangi oleh Mahathir. Dalam masa yang sama, isteri Perdana Menteri, Rosmah pastinya menjadi lebih berkuasa dan Mahathir secara automatik menjadi tidak penting lagi. Jika beberapa bulan lalu ketika Rosmah diberi penghormatan melancarkan kapal tentera laut, Gagah Samudera di mana Mahathir terpaksa berdiri di belakangnya bersama Zahid Hamidi, pemandangan seperti itu mungkin lebih kerap dapat dilihat jika Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya nanti.

Mahu tidak mahu, jika Najib kekal lagi, Mahathir bukan saja akan kerap kelihatan di belakang Najib, bahkan juga kerap membiarkan Rosmah berada di depannya demi memastikan masa depan anak-anak dan keluarganya terpelihara. Dengan Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri, walaupun Mahathir masih relevan ketika itu tetapi darjat dan kepentingannya, baik dalam UMNO mahu pun di kalangan rakyat, pastinya mulai menurun.

Nasib Mahathir hanya lebih baik jika BN menang tipis dan perubahan kepimpinan dalam UMNO dan kerajaan menjadi suatu keperluan untuk menghadapi pilihanraya yang seterusnya. Sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang, Muhyiddin mungkin menjadi pilihan Mahathir untuk ditonjolkan bagi menggantikan Najib.

Dengan Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau tiada pilihan selain menggunakan Mahathir untuk membantunya menguatkan UMNO dan kerajaan yang baru diambil-alihnya. Beliau akan terus bersuara dan kekal penting, baik dalam UMNO dan kerajaan. Kepentingan anak-anaknya dalam politik dan perniagaan juga akan terus terjamin.

Maka itu, untuk memastikannya terus relevan, Mahathir bukan saja tidak mahu BN tumbang dan Anwar menjadi Perdana Menteri tetapi juga tidak mahu BN menang cemerlang dan Najib kekal lagi Putrajaya. Hanya Muhyiddin akan menjadikannya kekal relevan.

Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.