Selasa, 26 Februari 2013

20 penduduk Pasir Puteh dipindahkan akibat banjir

Bernama


 
Sebanyak 20 penduduk Kampung Daram Buaya, Gaal di Pasir Puteh, terpaksa dipindahkan malam tadi selepas kediaman mereka ditenggelami banjir.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh berkata mangsa meliputi enam keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Changgai di Pasir Puteh.

"Pihak kami menjangka lebih ramai lagi akan dipindah berikutan hujan lebat sejak semalam masih berterusan sehingga pagi ini," katanya ketika dihubungi di Pasir Puteh, hari ini.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan rendah di Pasir Puteh mendapati penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Semerak sedang bersedia untuk berpindah berikutan paras air di sungai itu semakin meningkat.

Sementara itu di Kota Bharu, penduduk terutama yang tinggal di tebing sungai utama di Kelantan diingatkan bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang telah melepasi paras bahaya berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, bacaan paras air sungai itu pada 9 pagi ini ialah 9.02 meter iaitu melepasi paras bahaya 9 meter.

Bacaan di sungai yang sama di Jenob, Tanah Merah kini pada paras 21.6 meter (paras berjaga-jaga 21.50 meter).

Bacaan paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Sungai Lebir di Tualang juga dilaporkan meningkat yang kini berada di paras berjaga-jaga.

Keadaan cuaca di seluruh Kelantan pagi ini dilaporkan mendung dengan sesekali hujan lebat terutama di pedalaman.- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.