HEBOH apabila beberapa nama dikatakan kantoi tidak lepas saringan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan disaran supaya tidak
bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)!
Muka depan Sinar Harian pada Khamis, 24 Januari melaporkan dua menteri
kantoi diikuti dua pimpinan tertinggi sebuah parti. Pengguguran itu
tidak boleh dielakkan kerana beberapa tokoh itu gagal dalam ujian
tapisan yang dilakukan oleh SPRM kerana mempunyai masalah dengan
undang-undang.
Maklumat yang diterima Sinar Harian menunjukkan nama-nama besar yang
gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan jika
dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN komited memastikan
calonnya kali ini benar-benar bersih dan akan menyerahkan senarai nama
calonnya untuk tapisan SPRM.
Bagaimanapun, pendekatan itu tidak terpakai ke atas Pakatan Rakyat yang
mempunyai mekanisme tersendiri dalam memastikan senarai calon yang
dikemukakan bebas dari salah laku undang-undang.
Pas berkata tapisan calonnya dilakukan sendiri oleh Majlis Syura Ulama
Pas. Sementara DAP pula mempertanggungjawabkan Jawatankuasa Kerja
Pusatnya mengikut garis panduan yang diguna pakai di peringkat
antarabangsa untuk menapis calon parti itu.
PKR pula mengesahkan pihaknya masih belum memperincikan berhubung
perkara mengenai tapisan calon mereka. Dalam pada itu, kontroversi
membabitkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, akhirnya
terungkai apabila Majlis Syura mengesahkan keanggotaannya dalam majlis
itu sudah digugurkan.
Menurut Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh, tindakan itu kerana
didapati melanggar beberapa peraturan badan tertinggi parti itu.
Keputusan dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan
oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nama Nasharudin
menjadi sebutan apabila beliau membuat gesaan agar Pas mempertimbang
semula keanggotaan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat berikutan
pendirian Pengerusi DAP
Kebangsaan, Karpal Singh dalam isu hudud. Beliau juga mengingatkan
parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup
meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.
Sepanjang minggu ini juga, isu kalimah ALLAH masih terus diperdebatkan.
Menjauh daripada isu politik, Perdana Menteri Malaysia memberitahu,
Malaysia dianggap sebagai antara beberapa negara yang menyinar dalam
keadaan ekonomi negara yang tidak menentu.
Perkara itu katanya disuarakan oleh pemimpin pemimpin yang menghadiri
Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 di Davos, Switzerland yang berlangsung
selama lima hari bermula 23 Januari lalu.
Najib sebelum itu mengadakan lawatan kemanusiaan di Semenanjung Gaza sebelum berlepas ke Davos.
Terbaru muncul cadangan daripada Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama
Muda Malaysia (Ilmu) supaya diadakan satu forum yang mempertemukan ramai
cendekiawan dan ulama Islam bagi mencari penyelesaian dalam isu kalimah
ALLAH ini.
Menurut Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya, forum itu bakal
memperlihatkan perkara sensitif yang melibatkan soal akidah dalam agama
bukan satu isu perlekeh dan perlu diselesaikan segera.
Menurutnya, dengan penglibatan ramai cerdik pandai dan ulama, sudah pasti akan wujud jalan penyelesaian terbaik.
Hiburan:
Beberapa hari sahaja lagi pasangan ini bakal menamatkan zaman bujang
dan bergelar suami isteri.Saat hati sedang berbunga menanti saat
disatukan, siapa sangka kontroversi menyapa penyanyi dan pelakon Liyana
Jasmay dan pasangannya, Fathuddin Mazlan ekoran gambar praperkahwinan
mereka.
Mana tidaknya, aksi 'mesra' yang tersebar luas di internet itu pula
mengundang pelbagai kritikan dan tak puas hati pelbagai pihak kerana
merasakan babak dalam gambar itu melanggar norma masyarakat timur.
Ibu Liyana, Datin Habsah Simpon meluahkan perasaan kesalnya ekoran
penyebaran gambar itu oleh jurugambar terbabit dan menyifatkan ia tidak
sepatutnya berlaku apatah lagi gambar untuk koleksi peribadi.
Namun bagi pemilik syarikat fotografi, CandidSyndrome International,
yang menaja gambar sesi praperkahwinan itu, beliau sudah serik mahu
bekerjasama dengan Liyana.
Menganggap dirinya sebagai ‘mangsa keadaan’, Saiful Nang berharap
dirinya tidak terus disalahkan kerana tiada sebarang perjanjian bertulis
dibuat sebelum sesi fotografi berjalan.
Sementara itu, misteri kehilangan wang RM50,000 dari akaun pelakon Lisa
Surihani terjawab dengan penahanan seorang wanita bagi membantu
siasatan.
Wanita berkenaan merupakan seorang kakitangan bank yang telah
membatalkan kad ATM Lisa Surihani sebelum membuat salinan baru dan
melakukan pengeluaran berjumlah RM50,000 di Kuantan, Pahang sejak awal
bulan ini.
Selepas melakukan perkara keji tersebut, kakitangan bank wanita itu
telah memohon untuk ditukarkan ke cawangan Sabah. Sementara itu, artis
seberang, Irwansyah dan isterinya, Zaskia Sungkar antara yang ditahan
ketika sedang berpesta dadah di Lebak Bulus, Jakarta Selatan, 20 Januari
lalu.
Selain itu, dua artis lain ialah Raffi Ahmad dan Wanda Hamidah yang
ditahan bersama 13 lagi ketika sedang berpesta dadah di rumah Raffi.
Mereka ditangkap sepasukan anggota Badan Narkotik Nasional (BNN)
Indonesia yang menyerbu rumah Raffi pada waktu Subuh setelah mendapat
maklumat orang ramai.
Negara pada 28 Januari bersedih apabila mendapat perkhabaran kematian
legenda sukan badminton negara. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek menyifatkan pemergian mendiang Datuk Eddy Choong
sebagai satu kehilangan besar buat negara.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu pernah menjuarai kejohanan All-England
(acara perseorangan) sebanyak empat kali pada tahun 1953, 1954, 1956 dan
1957.
Dia juga pernah menjuarai Terbuka Malaysia pada tahun 1957 dan 1960.
Eddy turut tersenarai di dalam ‘Badminton of Fame’ pada tahun 1997.
Dalam pada itu, berita gembira yang diterima jaguh badminton negara
Datuk Lee Chong Wei bahawa beliau akan bergelar bapa tidak lama lagi
menjadi dorongan semangat kepadanya untuk mencipta lebih banyak
kejayaan.
Mensyukuri nikmat diberi, Chong Wei akui dia perlu lebih bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
Minggu lalu juga telah berakhirnya pusingan pertama piala FA.
Walaupun masing-masing mempamerkan aksi menarik dan penuh semangat,
rasa tidak puas hati di luar padang sama ada melibatkan pemain,
pengadil, jurulatih atau penyokong tidak
dapat dielakkan.
Perlawanan antara Selangor dan ATM berakhir dengan insiden pukul
memukul apabila penyerang Selangor, Afiq Azmi dikatakan melakukan
provokasi.
Pergaduhan tercetus antara pemain kedua-dua pasukan bermula selepas kad
merah dilayangkan terhadap pemain tengah Red Giants, Shukur Jusoh yang
kemudiannya ditarik balik.
Antara pasukan yang layak ke perlawanan kedua ialah pasukan Terengganu,
Pahang, Darul Takzim FC dan beberapa pasukan handalan lain.
Dalam pada itu, perkembangan sukan antarabangsa menyaksikan satu saman
difailkan ke atas bekas bekas pelumba basikal Lance Armstrong yang
baru-baru ini mengaku pernah mengambil dadah menambah prestasi.
Saman itu berjumlah AS$12 juta (RM36.2 juta).
SCA Promotion mendakwa mereka telah mengambil insurans bonus ke atas
Armstrong ketika dia memenangi gelaran Tour de France kali keempat,
kelima dan keenam.
Armstrong mengaku mengambil dadah bagi meningkatkan prestasi dalam tujuh kali penyertaan beliau dalam Tour de France.
Perkembangan luar negara.
Kedutaan Besar Malaysia di Algiers pada 26 Januari lalu mengesahkan
seorang lagi rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang semasa krisis
tebusan di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, timur
Algeria, terbunuh.
Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata mayat Tan Ping Wee telah
dikenal pasti pasukan forensik melalui rekod pergigian serta pengesahan
'tatoo' oleh keluarga mendiang.
Sementara itu isteri mendiang, Koh Siow Mun, 40-an, enggan ditemu bual
kerana masih bersedih tatkala menerima perkhabaran kematian suaminya
daripada Wisma Putra.
Di Kaherah, 30 maut kerana membantah keputusan mahkamah Mesir semalam,
yang menghukum mati 21 orang berkaitan rusuhan di stadium bola sepak
awal tahun lalu.
Laporan media menyebut penyokong-penyokong defendan cuba menyerbu penjara yang menempatkan mereka yang dihukum mati.
Perkembangan itu memburukkan lagi keadaan di Mesir yang berhadapan
dengan pertempuran antara polis dan penyokong kumpulan yang menentang
kepimpinan Presiden Mohammed Morsi, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh
terbunuh dan hampir 500 cedera.
Dua anggota polis ditembak mati di luar penjara di Port Said manakala
bangunan keselamatan kerajaan pula dibakar. Selain dua anggota polis 28
lagi maut.
Antara yang turut terbunuh ialah dua pemain bola sepak iaitu bekas
penjaga gol kelab al-Marsy, Tamir al-Fahlah dan pemain kelab Port Said,
Muhammad al-Dadhawi.
Di Barquisimeto, sekurang-kurangnya 50 telah terbunuh dalam satu rusuhan penjara di sebelah barat wilayah ini pada Ahad.
Menurut seorang kakitangan hospital, rusuhan itu tercetus apabila media
tempatan menyiarkan berita Pegawai Kanan Penjara, Iris Varela yang
berkata, tentera telah dihantar ke Penjara Uribana untuk mengesan
senjata.
Pengarah hospital Ruy Medina memberitahu agensi berita AFP bahawa
kira-kira 90 orang cedera, kebanyakannya akibat luka kerana tembakan.
Kematian membabitkan tahanan, pengawal dan pekerja penjara.
Sementara itu, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di
sebuah majlis pengebumian yang berlangsung di masjid pengikut Syiah,
utara Baghdad serta mengorbankan 42 orang dan 75 yang lain cedera.
Insiden itu berlaku pada 25 Januari.
Menurut Datuk Bandar Tuz Khurmatu, Shallal Abdul, berpuluh mayat
bertaburan di lantai Masjid Sayyid Al-Shuhada sejurus penyerang
meletupkan dirinya.
Sementara itu, lelaki yang dahulunya hanyalah seorang remaja kelas
pertengahan yang dibesarkan di bandar Boston, Michael Bloomberg terpaksa
mengambil pinjaman untuk membayar yuran tuisyennya di Universiti dan
bekerja secara sambilan sebagai atendan tempat letak kereta kini berjaya
menyumbang sebanyak AS$ 1.1 bilion (RM3.3 bilion).
Universiti Baltimore pada 26 Januari mengumumkan bahawa Bloomberg telah menyumbang sebanyak itu.
Beliau akan mencapai usia 71 tahun pada Hari Valentine bulan depan.
Bloomberg memperoleh MBA dari Harvard Business School. Beliau telah
diambil bekerja oleh firma Wall Street Salomon Brothers pada tahun 1966,
lapor biografi beliau di laman web NYC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.