KL TODAY
KUALA
LUMPUR— Syarat kelayakan pengundi luar negara yang ditetapkan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), antaranya mesti pernah kembali ke tanah
air dalam tempoh lima tahun terakhir dan tinggal tidak kurang 30 hari,
adalah munasabah.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar
berkata, syarat itu cukup ringan dan sesuai kerana negara-negara
Komanwel seperti Australia dan Kanada turut menetapkan syarat sama
manakala di Singapura menetapkan syarat tiga bulan.
“Tiga puluh hari dalam tempoh lima tahun, bukan 30 hari
sekali gus. Jadi, perkara ini adalah logik. Takkan lah rakyat Malaysia
yang duduk di luar negara lupa langsung negara, tetapi bila tiba masa
hendak mengundi, mereka hendak mengundi.
“Mengundi ini bukan saja hak tetapi juga tanggungjawab
kepada negara. SPR turut melihat satu sudut menampakkan kecintaan kepada
negara dengan mempunyai pertalian dengan tanah air,” katanya kepada
Bernama selepas ditemu bual dalam rancangan ‘Selamat Pagi Malaysia’
terbitan RTM di Wisma TV, Angkasapuri di sini hari ini.
Wan Ahmad turut menjelaskan syarat penetapan tempoh itu
telah dikemukakan di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen
Mengenai Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya (PSC) dan telah
dipersetujui.
Bagaimanapun, beliau berkata, penetapan tempoh lima tahun
dan tinggal tidak kurang 30 hari itu ditetapkan oleh SPR di bawah
peruntukan undang-undang dan peraturan pilihan raya.
“Sebagai sebuah badan di bawah perlembagaan, SPR ada kuasa
untuk tentukan syarat dan tatacara tertentu. Kita buat ini untuk
kebaikan negara untuk pastikan rakyat ada bukti cintakan negara dan ada
hubungan dengan tanah air,” katanya membidas tindakan segelintir pihak
mempertikaikan syarat itu dan mendakwa ia tidak dibincangkan di
peringkat PSC.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke dari DAP
menggesa SPR mengkaji semula syarat itu dan membatalkannya memandangkan
syarat itu adalah tidak adil dan menimbulkan kesulitan proses yang tidak
sepatutnya.
Loke juga mempertikai tindakan SPR yang didakwa
melengahkan pendaftaran pengundi luar negara hampir 13 bulan dari tarikh
PSC yang menimbulkan keraguan terhadap kesediaan dan komitmen badan itu
terhadap proses pilihan raya yang adil dan bersih.
Wan Ahmad ketika menjawab dakwaan itu berkata persiapan
rapi perlu dijalankan kerana perlu diadakan perbincangan dengan
Kementerian Luar berikutan pelaksanaan undi pengundi luar negara turut
melibatkan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara sebagai wakil SPR.
Selain itu, beliau berkata kerjasama Jabatan Imigresen
juga perlu untuk menyemak rekod kepulangan ke Malaysia di samping
menyediakan program latihan kepada petugas yang akan menjalankan tugas
itu nanti.
“SPR tidak mahu buat kerja lepas tangan. Kita kena rancang betul-betul termasuk menyediakan buku panduan serta CD latihan.
“Selepas yakin untuk laksanakan, barulah kita umum dan
kita buat pengumuman pada masa tepat kerana tempoh masa yang kita
berikan untuk membuat permohonan adalah sehingga tarikh Parlimen
dibubarkan,” katanya.
Peraturan membenarkan rakyat Malaysia yang menetap di luar
negara untuk mengundi secara pos telah diwartakan pada 21 Januari lepas
berdasarkan tiga syarat.
Syarat-syarat itu ialah mereka perlu menjadi pengundi
berdaftar terlebih dahulu, pernah berada di Malaysia atau kembali ke
negara ini tidak kurang 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum
pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuatkuasa;
dan menetap di luar negara kecuali mereka yang tinggal di selatan
Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimantan.
Sebelum ini, hanya pelajar sepenuh masa dan penjawat awam
dengan pasangan masing-masing (pengundi tidak hadir) dibenar mengundi
secara pos.
Sementara itu, Wan Ahmad berkata, sejak 21 Jan, SPR telah
menerima 500 permohonan daripada rakyat Malaysia di luar negara yang
ingin mengundi secara pos pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Beliau berkata, trend penghantaran borang permohonan
kepada SPR melalui e-mel akan berterusan dan meningkat ekoran caranya
yang mudah dan ringkas.
Selain itu, Wan Ahmad berkata, para pemohon boleh merujuk
jawapan kepada soalan-soalan berkaitan yang sering ditanya (FAQ) sebagai
kemudahan kepada pengundi untuk melengkapkan borang tersebut.
“Peluang untuk mengundi (secara pos) kepada rakyat
Malaysia (di luar negara) adalah satu transformasi politik, proses
demokrasi yang paling saya anggap sebagai bersejarah dan satu lonjakan
paling bermakna kepada rakyat.
Ini pertama kali dalam sejarah rakyat Malaysia di luar
negara dapat mengundi secara pos. Jadi, kita (SPR) akan buat perkara
yang terdaya dan sentiasa akan melakukan penambahbaikan,” katanya yang
berharap rakyat Malaysia akan menggunakan peluang dan hak yang diberikan
kepada mereka sebaik mungkin. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.