Selasa, 29 Januari 2013

R tunggu Awang Adek debat isu royalti

M Faqih,



KOTA BHARU: Bulan Januari hampir berlalu, namun Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein masih belum menjawab surat pelawaan debat isu royalti minyak Kelantan.

Kini tempoh kedua iaitu Febuari diberi bagi membolehkan Pengerusi Jawatankuasa Wang Ihsan Negeri Kelantan terbabit menyahut seruan berkenaan.

Setiausaha Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, sehingga sekarang sudah tiga surat dihantar kepada pemimpin Umno tersebut.

“Kita masih memberi pilihan sama ada debat diadakan pada bulan Januari atau Februari. Tempatnya juga diberi pilihan sama ada di Kelantan Trade Centre atau Balai Islam.

“Masa yang dicadangkan pada 9 malam. Surat pertama dihantar pada 27 Disember dan terakhir semalam,” katanya di sini.

Hisyamuddin berkata, R akan diwakili Presidennya, Nazri Deraman pada debat terbabit.

Menurutnya juga debat wajar diadakan memandangkan isu royalti semakin hangat diperkatakan rakyat khususnya di Kelantan.

Kata beliau terdapat terlalu banyak fakta dan maklumat yang mengelirukan rakyat berhubung isu royalti dan memerlukan perbincangan secara bersemuka diadakan.

“Rakyat memerlukan penjelasan yang konkrit daripada Datuk Dr Awang selaku Pengerusi Jawatankuasa Wang Ihsan Kelantan.

“Debat merupakan ruang terbaik yang dibenarkan dalam sistem demokrasi bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat secara langsung dari kedua-dua pihak yang berbeza pendapat dalam isu royalti,” ujarnya.

Menurutnya juga perbincangan lanjut termasuk mengenai format, tempat dan penganjuran masih boleh dipertimbangkan dengan wakil Dr Awang.

“Saya percaya sebagai seorang pemimpin yang memiliki keberanian, intelektual dan fakta wajar menyahut seruan debat untuk dibentangkan kepada rakyat Kelantan.

“Kami berharap Datuk dapat menjawab secara bertulis dalam tempoh 5 hari bekerja. Komitmen dan jasa baik Datuk bagi mencari titik pertemuan demi kebaikan seluruh rakyat Kelantan amat dihargai,” ujarnya.

Baru-baru ini Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera (Kerabat) Cawangan Kelantan turut merancang menganjur muzakarah Umno-PAS-KeADILan peringkat parlimen Machang pada 25 Januari lalu.

Pengerusinya, Mejar (B) Yusof Mat Ali berkata, surat jemputan kepada pemimpin Umno Machang dihantar pada 8 Januari dan dijawab secara lisan baru-baru ini tidak mahu menyertai muzakarah itu.

Dua pemimpin mewakili Pakatan sudah menyatakan kesediaan untuk hadir iaitu anggota parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Adun Temangan, Datuk Dr Muhammed Fadzli Hassan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.