Selasa, 29 Januari 2013

Pemuda Sabah pengsan dibelasah polis, kembarnya disimbah air panas

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Seorang pemuda Sabah berketurunan Bajau cedera parah dibelasah ala samseng oleh lima anggota polis hingga pengsan ketika ditahan jam 2 pagi di sebuah siber kafe di Telipok Ria, Tuaran, 19 Januari lalu.

Peguam mangsa, Erveana Ansari Ali dalam kenyataan berkata, menurut seorang saksi, sekumpulan polis masuk ke kafe tersebut dan menangkap Asrul Nordin sebelum mangsa diheret ke satu sudut, digari dan dibelasah hingga pengsan.

Menurut Erveana, dalam kejadian itu, bapa saudara mangsa yang dikenali sebagai Zul mendesak polis berhenti membelasah dan meminta penjelasan tetapi salah seorang polis, Inspektor Mazli menengking dan memberi amaran supaya beliau tidak masuk campur.

“Mazli dan beberapa polis turut memukul dan menghalang ibu bapa mangsa yang cuba menghalang polis membelasah anak mereka,” kata Erveana.

Beliau berkata, tindakan ganas polis terhadap mangsa dipercayai ekoran raut wajah beliau serupa dengan kembarnya, Nazrul Nordin yang pernah ke Balai Polis Tuaran pada 16 Januari lalu.

Belakang Nazrul melecur akibat disimbah air panas oleh polis

“Nazrul pergi ke balai polis untuk beri keterangan dan membuat pengecaman polis yang menuang air panas di belakang badannya ketika dalam tahanan semasa diberkas pada 6 Julai lalu kerana disyaki memecah masuk rumah. Tetapi tiada bukti mensabitkan beliau dengan tuduhan itu.

“Asrul pula diberkas atas kesalahan penyalahgunaan dadah bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelas Erveana.

Mengutuk serangan tersebut, Koordinator Jingga 13 Sabah itu mendesak Kerajaan Persekutuan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) segera menyiasat kejadian ini dan mengambil tindakan tegas terhadap polis terlibat.

“Polis bukan raja di Malaysia untuk bertindak sesuka hati tanpa mengikut peraturan kerana pernah berikrar menjaga keselamatan awam dan bertugas mengikut undang undang.

“Mereka tiada hak untuk memukul rakyat sesuka hati dan membabi buta,” tegasnya.

Erveana berkata, rakyat Sabah kini berani bangkit untuk menuntut keadilan dan memerangi kezaliman polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.