Rabu, 2 Januari 2013

Menitip sisa berharga 2012 menuju kemenangan demokrasi dan rakyat

Oleh Hafiz Zainuddin

KIAMAT tidak jadi. Dalam beberapa detik lagi, 2012 bakal tercatat dalam sejarah masa yang diwarnai dengan conteng lorek politik negara yang tak pernah selesai. Daripada politik suku-sakat, politik kepartian, politik jemaah, politik tuhan, politik punggung, sehinggalah kepada politik ahli politik. Segalanya berlalu pantas meninggalkan rekah dan parut yang dalam.

Rakyat makin dewasa setelah disajikan dengan rentetan kejadian, trauma dan kesaksian jelek akibat tindakan politik Barisan Nasional (BN). Ia lebih berbekas buat mereka yang merasai hidup penangan tembakan kanister, air asid dan sepak terajang FRU dalam himpunan aman yang pernah diraikan.

Struktur masyarakat yang dibina dalam kerangka feudal UMNO-BN sudah lama berakar umbi dalam masyarakat Malaysia. Ia meletakkan sebahagian masyarakat menjadi dangkal dan bantut akal. Doktrin, ajaran, isme yang ditanam UMNO-BN pada minda rakyat bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicabut.

Apapun, detik pembodohan massa masyarakat ini semakin berubah dan akibat impak teknologi maklumat dan iklim politik dunia.

2012 menyaksikan kebangkitan dan kesedaran rakyat membedah dan bereksperimentasi dengan proses pendemokrasian negara. Perhimpunan Bersih, Bersih 2.0, Bersih 3.0, perhimpunan mansuhkan ISA, perhimpunan mahasiswa, perhimpunan Hijau, himpunan Oren, tunjuk rasa di Pengerang malah himpunan-himpunan yang dianjurkan UMNO-BN sendiri termasuklah wacana-wacana bebas anjuran media-media utama negara, ia adalah manifestasi perkembangan proses pendemokrasian yang semakin subur.

Persoalannya, sejauh mana proses pendemokrasian ini mampu memberi impak perubahan dalam Malaysia sekiranya kepompong demokrasi itu masih berlegar dan dimain dalam kerangka jumud yang dicipta pemerintah UMNO BN? Misalnya himpunan aman Bersih dituduh himpunan yang mahu menggulingkan kerajaan malah lebih berat adalah perhimpunan untuk menghapuskan institusi beraja, melemahkan Melayu dan Islam.

Atau mungkin, inilah satu-satunya jalan yang harus ditempuh sebelum mengecap perubahan dan kejayaan perjuangan rakyat yang mahu atau tidak, perlu dituntun komponen oposisi dalam Pakatan Rakyat sebagai wadah rasmi dengan segala kewajaran.
.
Mungkinkah 2013 peluang terbaik ‘jalan mati’ buat UMNO-BN?

Tidak dinafi, UMNO-BN menuju jalan mati. Apa lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat terlalu lemah untuk mengemudi bahtera partinya yang makin kehilangan anak kapal.

Pergelutan kuasa dalam UMNO dengan blok dan perpecahan serius memungkinkan parti itu sekadar mampu berbangga dengan pencapaian sejarah silam 1946. Semua orang tahu, di antara Najib dan Muhyiddin kedua-duanya tidak sekepala biarpun hari demi hari mereka melaungkan kesatuan Melayu, perpaduan umat atau pekikan 1Malaysia.

Pembongkaran individu tertentu yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan kejam Altantuya Sharibuu, isu kapal selam Scorpene, indeks rasuah yang semakin memburuk, peningkatan hutang negara dan bebanan hidup rakyat, pengaliran wang haram ke luar negara, isu peribadi sang isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, salah guna kuasa institusi awam seperti Polis, SPR dan SPRM, kematian tahanan dalam lokap dan banyak lagi adalah antara sebab kredibiliti Najib goyah dan tidak mampu mandiri tanpa sokongan lain.

Biarpun nama beliau popular disebut orang sebagai anak kepada mantan Perdana Menteri Tun Razak yang berjasa kepada generasi Felda, Najib tetap tersepit di celah kelangkang isteri dengan dihantui beban bebal dosa lampau termasuklah gangguan jelmaan ‘hantu Mahathir’ yang banyak mengacau segala perencanaannya.

2013 tahun perubahan

Selamat tinggal 2012. Malaysia terus dewasa dan semakin menua. Pun demikian, kematangan negara ini menempuh detik usia tidak mempunyai apa-apa makna selagi kita, rakyat dan seluruh makhluk yang melata masih takut, menagih simpati belas ehsan kerajaan yang rakus, dayus, angkuh, yang berselingkuh dengan segala macam konspirasi dan keserakahan.

Biarpun 2012 menutupkan jendelanya dengan seribu satu rasa. Tanggungjawab meneruskan perjuangan anak bangsa Malaysia tidak bererti perlu diulang dan dirangka semula dari bawah. Kita, rakyat yang sedar dan patriot telah memulai satu lembaran baru sejak berlakunya Tsunami politik 2008.

Hujan penghujung Disember ini harus tidak akan melemahkan kita untuk terus berjuang mematahkan segala kerja buat UMNO-BN yang rancak membakar api perkauman dan agama yang tidak pernah berhenti.

Begitu juga kita dan rakyat seluruhnya yang perlu sedia beraksi menjadi pencerah pemikiran dan menjadikan diri sebagai korban untuk perubahan.

Perjuangan murni memartabat dasar kebangsaan, menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, teguh bersama Perlembagaan, haruslah terus diberi keutamaan memainkan peranan mencerahkan segala kekaburan yang dilontarkan. Biar ombak menghempas pantai, biar ribut datang melanda. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.

Selamat Tahun Baru 2013! –Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.