Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau menyokong penuh tuntutan tiga bekas hakim Mahkamah Rayuan supaya dibuka semula kes lama dakwaan rasuah terhadap hakim.
Katanya, ini termasuk 33 muka surat aduan pemberi maklumat badan kehakiman pertama di Malaysia pada 1996 membabitkan 112 dakwaan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan salah laku terhadap 12 hakim, kerana saksi mungkin sekarang bersedia untuk tampil ke depan.
“Tiga bekas hakim Mahkamah Rayuan iaitu Tan Sri V.C. George, Datuk Shaik Daud Ismail dan Datuk K. C. Vohrah adalah betul apabila mereka mengatakan orang ramai tidak berpuas hati kerana dakwaan sebelum ini tidak dilihat dengan cermat.
“Malah, testimoni di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap kes video klip V.K. Lingam (2007-2008), saya mengulangi apa yang dibangkitkan di Parlimen pada 1996, menuntut siasatan menyeluruh ke atas 112 dakwaan korupsi, penyalahgunaan kuasa dan salah laku kehakiman terhadap 12 hakim yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Dartuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid.
“Ini kerana testimoni di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja video klip Linggam mengenai rasuah dan korupsi hakim, termasuk Hakim Besar ketika itu, mengingatkan rakyat Malaysia, terutamanya pemimpin politik, Ahli Parlimen, hakim dan peguam kepada ucapan pertengahan Mac yang terkenal, ketika Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah mengejutkan rakyat Malaysia dengan pendedahan “33 muka surat surat layang” yang membuat 112 dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan salah laku terhadap 12 hakim pada satu Persidangan Hakim di Kuching pada March 1996,” katanya dalam kenyataan media Pengiraan Detik 76 Hari ke PRU-13, semalam.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Mohtar secara terbuka mengeluarkan arahan kepada polis untuk memulakan siasatan bagi “mencungkil” dan “mengheret ke muka pengadilan” “konspirator”, “pengkhianat” dan “unsur khianat” yang cuba “mencemarkan nama baik badan kehakiman dan menumpaskan keadilan” di negara ini.
Bagaimanapun, menurutnya, empat bulan kemudian, Mohtar mengumumkan kes itu ditutup apabila beliau mendapati seorang hakim Mahkamah Tinggi adalah orang di belakang 33 muka surat surat layang terhadap badan kehakiman dan hakim itu sudah meletakkan jawatan.
Katanya, hakim itu adalah Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid, yang mana satu dekad kemudian secara terbuka mengumumkan beliau tidak pernah disiasat secara menyeluruh, dan perkara itu disahkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib yang mengeluh bahawa “sebaliknya, hakim yang menulis surat itu yang disiasat”.
Kit Siang berkata, sudah tiba masanya keadilan mesti ditegakkan di dalam kes dakwaan Syed Ahmad Idid pada 1996 itu. Bagaimanapun, katanya, pembukaan semula kes lama dakwaan rasuah ke atas hakim itu tidak sepatutnya terhad kepada dakwaan Syed Ahmad Idid, tetapi sepatutnya membabitkan semua dakwaan rasuah dan salah laku kehakiman sejak pemecatan Tun Salleh Abas dan dua hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah pada 1988.
“Kes rasuah yang disebut bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, yang mengatakan secara terbuka pada March 2007 bahawa terdapat hakim yang korup tetapi tiada susulan terhadap pendedahan terbuka sedemikian baik dengan laporan polis atau penubuhan tribunal kehakiman terhadap hakim yang korup.
“Seperti yang ditegaskan oleh George dengan tepat, tiada undang-undang yang menentukan had masa dalam pendakwaan jenayah maka dengan itu tiada sebab mengapa kes lama tidak boleh dibuka semula,” tambahnya.
Beliau berkata, sudah sampai masanya untuk memulih kembali keyakinan awam terhadap kedaulatan undang-undang yang adil dan badan kehakiman yang benar-benar bebas di Malaysia dengan melancarkan pembersihan rasuah kehakiman sejak 25 tahun lalu.
Katanya, jika tiada kesungguhan politik di bawah pentadbiran sekarang untuk menegakkan keadilan kepada hakim, sama ada yang sedang berkhidmat atau bekas hakim, ini adalah satu daripada sebab mengapa masa sudah tiba untuk perubahan dalam PRU-13. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.