Khamis, 31 Januari 2013

Kisah si daif di negeri kaya...



Oleh Syed Azman Syed Ahmad

PERCAYAKAH anda di negeri Terengganu yang kaya raya ini masih ada lagi insan seperti Siti Azma Mohd Zain, seorang ibu tunggal yang terpaksa tinggal bersama dua anaknya di sebuah ‘rumah kotak’ berdindingkan papan terbuang dan beratap zink bocor.

Beliau yang melalui kehidupan serba kekurangan ini telah lebih dua tahun tinggal di bangsal usangnya tanpa sebarang kemudahan asas air dan elektrik. Rumah usangnya juga sering digenangi air setiap kali berlaku hujan akibat atap rumah yang bocor.

 Percayakah anda di negeri yang dianggap ‘Kuwait Malaysia’ yang boleh berbelanja lebih RM2 bilion setiap tahun masih ada manusia seperti Siti Azma yang hidup terhimpit, pernah terputus bekalan beras hampir seminggu dan anak-anak beliau terpaksa menahan lapar dengan hanya berkongsi makan sebungkus mi segera bersama anak-anaknya. Akibat kesempitan hidup juga, kedua-dua anak-anak beliau, Zulfamie Amran, 18, dan Zulaikha, 13, juga terpaksa berhenti sekolah akibat kesempitan hidup.

Namun inilah relaliti kemiskinan dan kesempitan hidup di Terengganu yang terpaksa dilalui oleh insan bernama Siti Azma dan keluarga beliau yang kini tinggal Kampung Limbung, Paka. ‘Rumah kotak’ beliau terletak tidak jauh dari kawasan hasil kekayaan loji-loji minyak dan gas yang menjadi sumber kekayaan dan kemewahan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kini menjadi lambang kemelut kemiskinan sebahagian rakyat Terengganu yang terpinggir.

Dan inilah juga realiti kemelut kemiskinan yang masih wujud di kalangan ribuan rakyat bawahan di seluruh negeri yang dianggap kaya raya ini. Seperti yang berlaku kepada Siti Azma yang juga merupakan ahli Puteri Umno cawangan Kertih, kemiskinan dan kesempitan hidup tidak pernah mengenal fahaman dan parti politik.

Beliau tidak tahu di mana lagi hendak mengadu selepas gagal mendapat sebarang bantuan daripada pihak berwajib. Permohonannya mendapatkan bantuan rumah juga dikatakan dinafikan pihak berkenaan kerana beliau tidak mempunyai sebarang tanah untuk tapak kediaman walaupun sekangkang kera.

Ya, percayakah anda dalam suasana kini terdapat ribuan insan dan keluarga daif seperti Siti Azma yang tidak memiliki apa-apa serta sedang bergelumang dengan kekangan kesempitan kehidupan harian, kerajaan pimpinan Ahmad Said amat berani ‘menganugerahkan’ tanah-tanah istimewa kepada exco dan wakil-wakil rakyat Umno walupun mereka telah memiliki tanah dan kediaman sendiri.

Ada antara mereka yang dianugerahkan tanah seluas dua hektar, tiga hektar dan ada yang mendapat habuan sehingga lima hektar setiap seorang. Apakah langkah yang amat angkuh ini boleh menjadi contoh kepada seluruh rakyat Terengganu kini?

Ya, tidak siapa yang dapat menafikan bahawa negeri Terengganu adalah negeri yang amat kaya. Negeri ini menerima wang royalti minyak secara langsung bernilai lebih RM25 bilion selama hampir 30 tahun.

Ini ditambah dengan kenaikan harga minyak kini, royalti tahunannya mencecah lebih RM1.5 bilion setiap tahun. Negeri ’Darul Iman’ ini juga memperuntukkan bajet yang amat besar setiap tahun dengan hasil minyak dan sumber gas yang diperolehi. Malah, sepanjang empat tahun pemerintahan Ahmad Said, kerajaan negeri telah berbelanja lebih RM10 bilion.

Dengan hasil tahunan yang sebesar ini, sepatutnya tidak ada lagi insan daif seperti Siti Azma yang terpaksa ’mengemis’ untuk mendapatkan tempat berteduh dan sekeping tanah sekangkang kera untuk kehidupan keluarga beliau.

Sepatutnya sudah tidak ada lagi rakyat Terengganu yang begitu daif kehidupan mereka sehinggakan tinggal di rumah kotak yang tidak mempunyai bekalan asas air dan elektrik. Sepatutnya tidak ada lagi anak-anak seperti Zulfamie Amran dan Zulaikha yang terpaksa berhenti sekolah akibat kesempitan kehidupan keluarga.

Malangnya ini semua gagal dan terbantut akibat pengurusan kerajaan negeri yang tempang serta tidak mendahului kepentingan rakyat ramai. Negeri ‘Kuwait Malaysia’ ini terus berhadapan dengan kadar kemiskinan yang tinggi dengan rakyatnya yang miskin dan kebanyakannya terpaksa bergantung kepada ‘subsidi’ dan ‘wang ehsan’, walaupun pendapatan per kapita Terengganu adalah yang kedua tertinggi di seluruh negara. Sebahagian besar rakyatnya yang miskin seperti pengayuh beca, petani, buruh dan nelayan terus dibiarkan hidup dengan bergantung kepada ’budaya subsidi’ dan ’wang ehsan’ yang dijadikan senjata politik bagi menyokong Umno. Golongan miskin seperti Siti Azma ini terus menerus terperangkap dan terpenjara dengan mentaliti ‘budaya subsidi’ Umno-BN. Ya, tidak ada pilihan bagi seluruh rakyat Terengganu melainkan melakukan perubahan besar di negeri tercinta ini. Perubahan tidak akan berlaku kecuali rakyat sendiri berani bangkit menentang segala bentuk kepincangan dan salah urus pentadbiran kini.

Semoga tiada lagi insan-insan daif seperti Siti Azma dan keluarga beliau yang saban hari hidup dengan linangan air mata akibat kesangsaraan hidup yang tidak dapat digambarkan di negeri ‘Darul Iman’ yang tercinta ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.