SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang wanita tempatan dan lima lelaki
Afrika yang disyaki terlibat dalam kes penipuan dalam talian melibatkan
kerugian RM515,095 di dua tempat di Lembah Klang pada 15 dan 16 Januari
lepas.
Ketua Unit Siasatan Perisian Komputer Jabatan Siasatan Jenayah Komersil
Bukit Aman DSP Mohamad Lazim Ismail berkata wanita berumur 45 tahun itu
ditahan ketika cuba mengeluarkan wang transaksi daripada akaunnya di
sebuah mesin pengeluaran wang di bank pada pukul 3 petang 15 Januari.
"Pihak bank sebenarnya telah menghalang akaun itu daripada aktiviti
pengeluaran wang kerana mengesyaki wang di dalam akaun wanita itu
terlibat dalam kes penipuan dalam talian.
"Kami menemui beberapa buku bank daripada wanita itu yang dipercayai
dijadikan keldai siber, jadi apa-apa bukti dan semua kesalahan yang
berkaitan sindiket itu diletakkan terhadap wanita terbabit," katanya
kepada Bernama di sini hari ini.
Susulan itu, kira-kira pukul 1 pagi, polis menyerbu sebuah rumah di
Puchong dan menahan lima lelaki Afrika serta merampas beberapa komputer
riba, telefon bimbit dan alat perkakasan komputer yang lain.
"Kelima-lima lelaki yang berumur 22 hingga 30 tahun itu merupakan pelajar sebuah kolej swasta di ibu Negara," katanya.
Mohamad Lazim berkata kegiatan sindiket itu bermula apabila syarikat A
membuat urusan perniagaan dengan syarikat B yang menjalankan perniagaan
penipuan iklan di laman-laman web termasuk urusan pembayaran wang
menerusi kaedah e-mel.
"E-mel yang dihantar mengandungi arahan pembayaran dan nombor-nombor
akaun bank di mana bayaran yang sepatutnya dimasukkan. Namun dalam
situasi ini suspek akan menggodam dan mengubah nombor akaun yang
terdapat dalam e-mel yang dihantar syarikat A.
"Suspek akan memasukkan nombor akaun baharu milik suspek tanpa
pengetahuan syarikat A. Apabila syarikat B menerima e-mel itu dan
membuat pembayaran seperti dalam arahan e-mel tanpa menyedari nombor
akaun berkenaan telah diubah oleh sindiket asing," katanya.
Beliau berkata wang yang dimasukkan dalam akaun lain itu akan diambil
oleh keldai siber (wanita) dan menyerahkan kepada sindiket berkenaan.
Mohamad Lazim berkata sindiket itu berjaya ditumpaskan berikutan
tindakan segera syarikat antarabangsa yang membuat laporan menerusi bank
luar negara berkenaan yang menghubungi bank di Malaysia. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.